PRESTASI kurang memberangsangkan skuad hoki negara dalam aksi persahabatan antarabangsa adalah disebabkan The Speedy Tigers itu sedang dalam proses membina kekuatan serta keyakinan setelah lebih setahun tidak beraksi perlawanan kompetitif.
Ketua Jurulatih The Speedy Tigers, Arul Selvaraj berkata, proses membina kekuatan dan keyakinan pemain itu perlu setelah lebih setahun tidak beraksi berikutan Covid-19.
Menurut Selvaraj, proses itu diharap berterusan dalam usaha melihat sejauh mana kecergasan dan kekuatan fizikal pemain sebelum beraksi di pentas Piala Asia pada penghujung tahun.
"Bagi saya, kita sedang melalui proses itu. Semua keputusan yang diperolehi pada aksi persahabatan yang turut disertai Great Britain dan Jepun membuatkan kita lebih fokus untuk memenangi Piala Asia yang dijadualkan berlangsung pada hujung tahun ini.
"Sebab itu kita bersemangat untuk mengambil cabaran bermain menentang pasukan besar seperti Great Britain dan Jepun yang bakal beraksi di Sukan Olimpik.
"Selain itu, kita turut memberikan fokus dari segi fasa etika kerja dan saya mahu menyampaikan mesej bahawa pemain juga adakalanya perlu berdepan dengan diri mereka sendiri untuk kekal bersemangat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Pada aksi persahabatan 17 April lalu, skuad hoki negara tewas 0-3 kepada Jepun, 1-3 (Great Britain), 0-1 (Jepun) dan berdepan Great Britain pada Khamis bagi mengakhiri perlawanan persahabatan berkenaan.
Dalam pada itu Selvaraj berkata, dia gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain hoki negara terutamanya, Faizal Saari pada aksi persahabatan berkenaan.
Katanya, Faizal telah memberikan persembahan terbaik walaupun dia tidak diletakkan pada posisi asal sebaliknya terpaksa beraksi di posisi lain.
"Pada aksi persahabatan kali ini, saya meletakkan Faizal di posisi yang dia memang tidak pernah main, bagaimanapun Faizal telah memberikan satu persembahan yang mantap.
"Faizal ini penyerang, tapi di bawah sistem baharu, dia kena bertahan. Tetapi daripada sikap dan komitmen ditunjukkan dia telah memberikan aksi yang cukup memberangsangkan,” katanya.