Bekalan ayam mencukupi hingga selepas Aidilfitri

Iklan
Nanta (kanan) ketika membuat tinjauan pelaksanaan Skim SHMMP HRP 2021) di Pasar Tani MyFarm Outlet, pada Khamis.

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Bekalan ayam dalam negara mencukupi sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, jaminan itu diberikan oleh beberapa pengusaha utama ayam dalam negara ketika sesi libat urus yang diadakan pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Selepas adakan perbincangan dengan beberapa pengeluar ayam yang terbesar mereka beri jaminan bekalan ayam ini mencukupi sehingga selepas Aidilfitri.

"Semalam, saya juga hubungi salah seorang pengusaha terbesar yang memiliki banyak ladang ternakan ayam untuk memastikan perkara itu. Dia beri jaminan. Oleh itu pengguna tidak perlu risau," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 di pasar tani MyFarm Outlet di sini pada Khamis.

Selain ayam, barangan makanan lain yang turut diletakkan di bawah SHMMP 2021 adalah daging lembu tempatan, daging lembu import, telur ayam gred A, B dan C, ikan kembung, ikan mabung, ikan selayang dan ikan tongkol.

Iklan

Mengulas mengenai pertambahan senarai barangan makanan khususnya berkaitan sayur-sayuran di bawah skim tersebut, Nanta berkata, pihaknya sedang menunggu masa yang sesuai untuk mengumumkan perkara tersebut.

"Yang sayur-sayuran itu kita tengok dahulu kemudian sebab buat masa sekarang belum ada indikator yang menunjukkan di mana harga sayur-sayuran yang selalunya dikawal meningkat.

"Tetapi penguat kuasa KPDNHEP sudah buat kerja-kerja awal untuk kita memikirkan bagaimana dan bila tarikhnya yang sesuai supaya tidak ada yang terjejas,” katanya.

Nanta berkata, dalam pelaksanaan SHMMP 2021, kementeriannya menggunakan pendekatan yang mesra kepada semua pihak dengan mengambil kira kesan yang ditanggung pengguna, peniaga dan pengusaha ladang.

Sementara itu, beliau berkata, peruncit barangan makanan tidak seharusnya risau mengenai kesan yang ditanggung mereka dalam pelaksanaan skim tersebut kerana KPDNHEP mengenakan kawalan harga di seluruh rantaian bekalan makanan yang terbabit.

"Ini kerana mereka (peruncit) mesti beli daripada pemborong atau pengeluar di ladang mengikut harga yang ditetapkan di peringkat borong ataupun di ladang.

"Sebab itu peniaga runcit ini tidak sepatutnya kehilangan margin ataupun keuntungan mereka. Jadi tidak ada masalah harga tinggi apabila peruncit membeli daripada pembekal,” katanya.