SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan pendekatan kerajaan yang disifatkan 'perlahan' dalam memberikan suntikan vaksin kepada rakyat selepas dua bulan ia dimulakan.
Menurutnya, setakat Isnin lalu hanya 451,237 individu sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
"Dua bulan sudah berlalu, proses pemberian vaksin bergerak perlahan. Di mana silapnya? Kelewatan pemberian vaksin ini sememangnya tidak boleh diterima. Ia perlu dipercepatkan.
"Proses vaksinasi di Malaysia lambat berbanding negara lain. Saya berharap kerajaan bertindak pantas berhubung kesihatan rakyat. Jangan hanya tindakan pantas pada perkembangan politik sahaja, contohnya J-Kom," katanya di laman Facebook beliau pada Khamis.
Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sebelum ini rakyat diberi khabar gembira bahawa kehidupan akan kembali normal selepas ketibaan vaksin ke negara ini.
"Seingat saya pada Februari lalu seluruh rakyat di negara ini gembira kerana vaksin Covid-19 akhirnya tiba di Malaysia. Dengan bangganya vaksin itu dibawa menaiki kapal terbang serta lori.
"Seluruh agensi media membuat laporan berkaitan ketibaan itu. Ada dalam kalangan rakyat berkata 'baguslah dah tiba. Tamatlah riwayat Covid-19'.
"Besar harapan rakyat (supaya) suntikan dapat disegerakan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tak perlu dilaksanakan lagi (dan) tiada lagi laporan ribuan kes sehari,” katanya.
Tambah beliau, ada ura-ura mengatakan terdapat pihak lain cuba membawa masuk bekalan vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Bagaimanapun, katanya, usaha itu tergantung kerana dilengahkan kementerian berkaitan, contohnya syarikat swasta dan yayasan dari Selangor dan Sarawak.
Malah, katanya, ada segelintir rakyat yang sanggup membayar wang sendiri untuk mendapatkan suntikan vaksin berbanding menunggu tindakan kerajaan.
"Jika menunggu tindakan kerajaan mungkin berabad lamanya. Apa-apa pun saya doakan semoga perjalanan vaksinasi ini dipermudahkan dan rakyat beroleh kesihatan yang baik," katanya.