SUBANG JAYA - Seorang wanita warga asing disyaki dipukul suaminya kerana berselisih faham berhubung isu perniagaan kuih samosa di sebuah rumah di sini pada 13 April lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, dalam kejadian pada jam 3.15 petang, suspek yang juga warga asing berusia 28 tahun itu turut memburukan nama keluarga isterinya.
"Suspek cuba membaling senduk kayu ke arah isterinya ketika mangsa berusia 30 tahun itu mahu ke bilik, namun tidak kena.
"Apabila mangsa berada di bilik di tingkat atas kediaman terbabit, suspek telah bertindak menarik tangan dan mengheret isterinya turun ke bawah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Abd Khalid berkata, ketika pasangan itu berada di hadapan pintu rumah, suspek telah mengambil kad pengeluaran tunai sebuah bank milik mangsa.
"Kemudian berlaku pergelutan antara pasangan itu, suspek telah menolak dan menumbuk perut isterinya sehingga terduduk," katanya.
Menurutnya, adik lelaki mangsa yang berusia 19 tahun telah menolong mengangkat kakaknya.
"Mangsa kemudiannya membuat laporan polis untuk keselamatan diri," katanya.
Abd Khalid berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya telah menahan lelaki terbabit pada jam 1 petang, Rabu.
"Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994," katanya.