PUTRAJAYA - Harga daging segar tempatan diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan menyebabkan kerugian kepada peniaga.
Pengerusi Kelab Generasi Transformasi Ruminan (GTR) Malaysia, Hussain Jaapar berkata, harga yang diumumkan iaitu RM34 dan RM36.50 di Semenanjung serta Sabah adalah harga di bawah kos pengeluaran disebabkan kenaikan kos makanan yang telah berlaku.
"Harga ditetapkan tersebut adalah tidak munasabah dan merupakan satu kesilapan. Kelab GTR Malaysia mewakili lebih 5,000 ahli berdaftar daripada penternak ruminan seluruh Malaysia ingin menyatakan bantahan sekeras-kerasnya atas keputusan (penetapan harga) ini.
"Kami menyusul agar KPDNHEP menarik balik penetapan harga ke atas daging segar tempatan dengan kadar segera.
"Perlu ambil contoh di Sarawak yang hanya mengenakan penetapan harga ke atas daging import manakala daging tempatan diniagakan secara bebas berdasarkan permintaan dan bekalan. Ia sangat ideal kerana pengguna boleh membuat pilihan untuk mendapatkan sumber daging yang murah.
"Kenaikan kos makanan ini berlaku awal tahun lalu lagi, namun masih tiada tindakan. Kerajaan perlu mencari jalan untuk mengawal perkara ini. Jadikan bahan mentah sebagai satu barang kawalan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan isu skim harga terkawal daging segar di pejabat KPDNHEP.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi GTR, Nordin Mat dan setiausahanya, Mahfiah Mustapa.
Mengulas lanjut, Hussain berkata, penetapan atau kawalan harga ke atas daging segar tempatan perlu ditangguhkan terlebih dahulu jika kawalan kos makanan masih belum selesai.
Beliau turut mencadangkan harga daging segar tempatan dinaikkan kepada RM40 sekilogram.
"Kenaikan ini tidak menjadi masalah kerana harga daging import masih terkawal. Orang ramai iaitu pengguna mempunyai pilihan yang luas.
"Kami harap KPDNHEP terima pandangan ini kerana kami lebih tahu kos bagi penternakan fidlot dan kos penternakan secara integrase,” katanya.
Selain itu, katanya, kenaikan tersebut perlu dilakukan bagi menghalang peniaga-peniaga daripada menipu pelanggannya.
"Maknanya kalau harga masih tidak turun,penternak tidak akan sembelih lembu mereka atau pelanggan dapat daging yang ditipu.
"Daging yang ditipu maksudnya peniaga tidak jujur, mereka akan gunakan daging kerbau atau sejuk beku dan cakap ia daging segar. Ini yang akan berlaku kalau harga kekal,” katanya.