DEBUT Ryan Mason selaku pengendali sementara (caretaker) Tottenham Hotspur mengantikan Jose Mourinho nyata membawa tuah apabila mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Southampton pada awal pagi Khamis.
Mason yang berusia 29 tahun, menyifatkan kemenangan berkenaan sebagai satu permulaan baik buatnya bersama skuad The Lilywhites itu sejak pemecatan Mourinho awal minggu ini.
Malah katanya, pemain-pemain Spurs dilihat mempamerkan aksi yang cukup bertenaga di sepanjang separuh masa kedua bagi menghasilkan kemenangan.
"Mereka (pemain) kelihatan begitu bertenaga, penuh keberanian terutamanya bagi tempoh 20 hingga 30 minit yang pertama.
"Namun, Southampton juga beraksi baik dan berjaya menjaringkan gol pada minit ke-30 menerusi Danny Ings dan jaringan itu tambah menyukarkan kita.
"Bagaimanapun, pemain dilihat terus beraksi dengan baik dengan mengikuti perancangan yang diatur untuk kembali bangkit dengan dua gol pada separuh masa kedua dan seterusnya memenangi perlawanan,” katanya.
Biarpun ketinggalan 0-1, pemain Tottenham Hotspur dilihat tidak berputus asa mengatur asakan ke pintu gawang pelawat untuk menjaringkan gol.
Kesemua asakan berkenaan akhirnya membuahkan hasil apabila Gareth Bale membuka jaringan pada minit ke-60 sebelum Son Heung-Min menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-90 dan sekali gus mengesahkan kemenangan Spurs.
Kemenangan itu menyaksikan Tottenham berada pada kedudukan keenam dengan 53 mata dan sekali gus membuka peluang untuk mencabar kedudukan empat pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) pada baki lima perlawanan terakhir.
Sementara itu, Mason berharap kemenangan berkenaan akan berterusan selepas ini terutamanya pada baki lima perlawanan terakhir kelak.
"Bagi saya kemenangan ini adalah sesuatu yang menakjubkan dan saya berharap ia berterusan selepas ini,” katanya.