Fasa pemulihan ekonomi berterusan pulih pasaran buruh

Iklan
Mohd Uzir

SHAH ALAM - Fasa pemulihan ekonomi yang berterusan disokong oleh pelbagai program inisiatif kerajaan serta pelancaran program vaksinasi pada tahun ini boleh membantu mempercepatkan pemulihan pasaran buruh.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, walaupun bilangan kes harian Covid-19 merekodkan bilangan kes yang tingi tetapi dengan beberapa kelonggaran bagi aktiviti ekonomi dapat membantu perniagaan untuk mengekalkan momentum serta mengimbangi kesan ekonomi dan kepentingan kesihatan.

Iklan
Iklan

"Justeru adalah diramalkan bahawa pasaran buruh Malaysia akan meningkat secara marginal, namun masih berdepan dengan cabaran ketidaktentuan situasi krisis kesihatan di Malaysia," katanya menerusi Laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia 2020 pada Khamis.

Menerusi Statistik Tenaga Buruh 2020, kadar pengangguran di negara ini mencecah 4.5 peratus pada tahun lalu berbanding 3.3 peratus pada 2019.

Iklan

Mohd Uzir berkata, kedudukan tenaga buruh Malaysia terjejas pada tahun lalu disebabkan krisis kesihatan dan kesan ekonomi yang melanda.

"Pasaran buruh global berada dalam situasi yang tidak menentu sepanjang tahun 2020 yang mengakibatkan kehilangan pekerjaan dan pengurangan jam bekerja serta sumber pendapatan berikutan pandemik Covid-19 dan langkah-langkah mengekang penularan wabak ini yang dilaksanakan oleh kebanyakan negara.

Iklan

"Malaysia juga tidak terkecuali berdepan dengan kesan luar jangka ekonomi dan sosial mengakibatkan kadar pengangguran negara mencapai lebih empat peratus buat pertama kalinya setelah hampir tiga dekat," katanya.

Mohd Uzir berkata, semasa krisis kesihatan, kadar pengangguran bulanan adalah dalam lingkungan 3.9 peratus hingga 5.3 peratus yang merekodkan pertambahan melebihi 200,000 orang penganggur.

"Pembukaan semula lebih banyak aktiviti perniagaan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat walaupun dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berterusan sehingga akhir tahun dilihat telah dapat mengimbangi kepentingan kesihatan dengan pemulihan ekonomi dan perniagaan.

"Justeru, menjelang akhir tahun 2020, didapati tenaga menunjukkan pemulihan dengan momentum perlahan," katanya.

Beliau berkata, tenaga buruh yang merangkumi penduduk bekerja dan penganggur meningkat sebanyak 0.6 peratus kepada 15.7 juta orang berbanding pada 2019 sebanyak 15.6 juta orang.

Bagaimanapun, katanya, tidak seperti tempoh prakrisis, didapati peningkatan tenaga buruh pada 2020 adalah disebabkan oleh pertambahan dalam bilangan penganggur manakala bilangan penduduk bekerja berkurang.

"Berikutan ketidaktentuan pasaran buruh pada tahun tersebut, didapati sebahagian kecil tenaga buruh telah beralih kepada kumpulan tidak aktif di mana bilangan luar tenaga buruh meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada 7.2 juta orang daripada 7.1 juta pada 2019.

"Justeru, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) menurun 0.3 peratus kepada 68.4 peratus," katanya.

Beliau berkata, kadar pengangguran tahunan meningkat 1.2 peratus kepada 4.5 peratus pada tahun lalu iaitu kadar tertinggi sejak tahun 1993.

Mohd Uzir berkata, bilangan penganggur bertambah sebanyak 39.9 peratus kepada 711,000 orang berbanding 508,200 orang pada 2019.

"Daripada jumlah ini, 72.3 peratus adalah penganggur aktif yang meningkat sebanyak 40.4 peratus kepada 514,200 berbanding pada tahun 2019 sebanyak 366,200 orang.

"Hampir separuh daripada penganggur aktif iaitu 46.5 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan," katanya,

Menurutnya, mengikut kumpulan umur, kadar pengangguran belia yang berumur 15 hingga 24 tahun meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada 12.0 peratus (2019: 10.5 peratus) yang mencatatkan seramai 314,000 orang penganggur belia pada 2020.

"Begitu juga dengan kadar pengangguran dewasa yang berumur 25 hingga 64 tahun meningkat 1.3 peratus kepada 3.0 peratus (2019: 1.7 peratus) merekodkan 397,000 orang (2019: 212,400 orang)," katanya.

Dari segi prestasi mengikut negeri, Mohd Uzir berkata, semua negeri merekodkan peningkatan kadar pengangguran pada 2020.

"Sabah merekodkan kadar pengangguran tertinggi dengan 8.0 peratus, diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (7.2 peratus) dan Perak (4.8 peratus).

"Sementara itu, tiga negeri mencatatkan kadar pengangguran yang lebih rendah iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya (1.5 peratus), Melaka (2.2 peratus) dan Pahang (3.1 peratus)," katanya.

Mengulas mengenai situasi guna tenaga tidak penuh, Mohd Uzir berkata, penduduk yang bekerja kurang 30 jam seminggu disebabkan keadaan kerja atau kerana kerja yang tidak mencukupi melonjak kepada 64.9 peratus merekodkan 556,800 orang.

"Kadar penduduk bekerja kurang 30 jam seminggu meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada 3.7 peratus (2019: 2.2 peratus).

"Situasi ini ditunjukkan oleh kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa yang ditakrifkan sebagai mereka yang bekerja kurang dari 30 jam seminggu dan boleh serta sanggup untuk menerima tambahan bilangan jam bekerja.

"Kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan masa pada tahun 2020 meningkat 0.9 peratus kepada 2.2 peratus (2019: 1.3 peratus) mencatatkan pertambahan sebanyak 142,400 orang kepada 334,000 orang," katanya.