Raih keberkatan dalam hidup menerusi al-Quran

Iklan
Abdul Aziz Jusoh

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengalu-alukan sokongan dan harapan kepada seluruh masyarakat untuk bersama mengimarahkan World #QuranHour pada 24 Ramadan 1442H bersamaan 6 Mei ini.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal yang memasuki tahun keenam membawa Misi Surah Al-Mulk dengan harapan semoga mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Iklan
Iklan

"Inti sari Surah Al-Mulk yang bermaksud kerajaan boleh dijadikan pedoman dalam hidup. Kita sering kali lupa akan kematian. Dalam surah tersebut, ALLAH SWT mengingatkan kita kepada setiap yang bernyawa akan mati.

"Apabila ingat mati, kita akan menjurus kepada persediaan untuk mati dengan melakukan amal soleh secara berterusan, beristiqamah dan komited. Diharapkan usaha kita mendapat keberkatan.

Iklan

"Keberkatan dalam agama adalah mendapat kebaikan di dunia dan akhirat. Mungkin kita tidak nampak kesenangan sekarang, tetapi sampai kepada anak cucu. Dengan keberkatan hidup, kita rasa selesa, tenang dan bahagia bersama keluarga walaupun menerima rezeki tidak begitu banyak," katanya.

Tambah beliau, Ramadan merupakan bulan al-Quran dan ia peluang untuk umat Islam mendekatkan diri dengan kalam ALLAH dengan bertadabur, membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran.

Iklan

"Amalan bersama dengan al-Quran perlu diteruskan dan beristiqamah pada bulan seterusnya. Inilah cara membudayakan al-Quran dalam kehidupan masyarakat.

"Saranan saya, susun jadual untuk mengadakan aktiviti membaca al-Quran bersama keluarga. Belajarlah al-Quran dengan orang yang berkelayakan agar lebih faham dan melaksanakan apa yang terdapat dalam al-Quran dan Hadis,” katanya.

Surah Al-Mulk menjadi surah pilihan bagi #QuranHour tahun ini.

World #QuranHour akan bersiaran dari Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya secara langsung melalui siaran di Astro Oasis sebagai penyiar utama, selain TV Alhijrah dan Bernama.

World #QuranHOur di bawah penaung Jakim dianjurkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan kerjasama rakan sinergi iaitu Astro, TV Alhijrah, Bernama, Sinar Harian, Kumpulan Karangkraf, Nu Ideaktiv, Zayan FM, British Muslim TV, Islamic Tourism Centre, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Semalaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Rumah Ngaji.

Orang ramai dialu-alukan menyertai dan menganjurkan World #QuranHour di lokasi masing-masing selama satu jam bermula jam 12 tengah hari pada hari tersebut.

Sila daftar lokasi anda di http://bit.ly/HOTSPOT1442H.