Wajibkan penganjur pasar, bazar Ramadan guna sistem berkupon

Iklan
Sulaiman (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Bantuan One-off Kerajaan Negeri di Hotel MITC, Ayer Keroh pada Khamis.

MELAKA - Kerajaan negeri mewajibkan semua pasar dan bazar Ramadan yang beroperasi mengaplikasikan sistem berkupon berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, sistem berkenaan bukan baharu diwujudkan namun termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi penganjuran pasar dan bazar Ramadan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penganjur yang masih tidak berbuat demikian akan berdepan tindakan tegas sama ada dikenakan kompaun atau penutupan operasi.

"Ada pasar dan bazar Ramadan yang telah menggunakan kupon sejak dari awal, cuma masih ada yang didapati belum melaksanakan sistem serupa.

Iklan

"Saya minta mana yang belum laksanakan itu, laksanakanlah segera untuk mengawal kapasiti pengunjung dan sememangnya sudah termaktub dalam SOP sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan One-off Kerajaan Negeri kepada 199 penggiat industri pelancongan di Hotel MITC, Ayer Keroh, di sini pada Khamis.

Iklan

Jelas Sulaiman, anggota polis akan terus ditempatkan di setiap pasar dan bazar Ramadan untuk memastikan SOP terus dipatuhi pengunjung dan peniaga.

Mengulas mengenai majlis tersebut, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan sekali bayar (one-off) kepada seramai 199 penggiat industri pelancongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Menurutnya, bantuan keseluruhan berjumlah RM253,500 merangkumi pemberian sebanyak RM1,000 kepada 120 pengusaha Agensi Kembara Pelancongan Negeri Melaka, bantuan RM2,000 kepada sembilan pengusaha inap desa (homestay) manakala bantuan RM1,500 kepada 67 pengusaha chalet Bumiputera.

"Bantuan sekali bayar berjumlah RM5,000 turut diberikan kepada tiga persatuan iaitu Persatuan Pelancongan Melaka (MTA), Persatuan Hotel Malaysia Melaka (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet Negeri Melaka (MyBHA)," katanya.