KOTA BHARU - Sebanyak 68 notis dikeluarkan selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Kelantan membuat pemeriksaan ke atas pembekal dan pemborong ayam di negeri ini.
Pengarah KPDNHEP Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, notis tersebut dikeluarkan pihaknya sejak 13 April lalu sehingga Rabu untuk mendapatkan maklum balas lanjut daripada mereka yang terlibat sebelum dikenakan sebarang tindakan.
Notis berkenaan adalah di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
Menurutnya, pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi dan terus kepada KPDNHEP berkenaan isu kenaikan harga ayam namun ia dikongsi masyarakat melalui laman sosial Facebook serta sebagainya.
"Sehingga semalam (Rabu), harga ayam dijual mengikut yang telah ditetapkan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa iaitu RM7.90 untuk harga runcit.
"Memang kita akan pastikan ia mengikut harga di bawah skim tersebut dan saya harap semua peniaga akan patuh pada harga tersebut," katanya kepada pemberita sempena Program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 di Maydin Kubang Kerian, di sini pada Khamis
Mengulas lanjut, beliau berkata, Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 akan bermula 21 April hingga 20 Mei bagi tempoh 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan dan tujuh hari selepas perayaan.
Katanya, skim tersebut dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya telah mengenal pasti 12 jenis barangan yang berada di bawah skim berkenaan.
"Antaranya adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, daging lembu tempatan, daging lembu import, daging kerbau import, ikan kembung, mambung dan selayang.
"KPDNHEP menentukan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit berdasarkan kepada maklumat daripada pihak industri iaitu semua peringkat dari runcit hingga pembekal dan juga berdasarkan pemantauan harga di semua daerah di seluruh negara sepanjang tahun.
"Maklumat juga diperoleh dari pelbagai agensi kerajaan yang berkaitan iaitu Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta perbincangan dengan pengeluar, pengimport, pembekal dan pemborong barangan tersebut," katanya.
Sementara itu, beliau juga memberitahu, pihaknya menugaskan 141 anggota penguat kuasa dibantu 92 pegawai pemantau harga yang akan memantau penjualan di semua tempat di seluruh negeri.
Katanya, kini pihak KPDNHEP Kelantan juga sedang melakukan Operasi Pantau untuk memantau peniaga supaya patuh pada harga ditetapkan.