KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Terengganu bakal memiliki penerbangan terus ke beberapa destinasi terpilih seperti Singapura dan Sarawak.
Exco Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia susulan syarikat penerbangan Malindo Air menunjukkan minat dan bersedia untuk mengkaji beberapa laluan melibatkan penerbangan terus ke negeri ini.
Iklan
Iklan
Menurutnya, perkara itu dipersetujui menerusi pertemuan yang diadakan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri serta beberapa pegawai tinggi syarikat berkenaan di Wisma Darul Iman pada Khamis.
"Kita telah mencadangkan supaya pihak syarikat mengkaji beberapa penerbangan tertentu antaranya dari Singapura, Senai (Johor), Pulau Pinang dan Kuching (Sarawak).
"Syarikat Malindo Air menunjukkan minat terhadap apa yang dikemukakan dan akan mengadakan perbincangan lanjut mengenainya," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Ariffin bagaimanapun berkata, keputusan muktamad mengenainya belum diputuskan namun pihak syarikat penerbangan tersebut menunjukkan reaksi positif berdasarkan jumlah pelancong yang tinggi ke negeri ini.
"Sekiranya ia dapat direalisasikan, bahagian promosi Jabatan Pelancongan Negeri akan turut menjalankan promosi bagi menarik minat pelanggan sekaligus meningkatkan jumlah pelancong yang akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini," katanya.