PUTRAJAYA - Tempoh pegangan pajakan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur dilanjutkan untuk tempoh 60 tahun.
Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya berkata, keputusan itu dicapai selepas mempertimbangkan permohonan lembaga pengelola sekolah berkenaan.
"Setelah meneliti dan mengambil kira kepentingan sumbangan SMK Convent Bukit Nanas kepada pendidikan negara sejak 1899, kerajaan bersetuju untuk lanjutkan bagi tempoh 60 tahun," katanya pada Khamis.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, kebenaran itu diberikan khusus untuk tujuan pendidikan sahaja.
"Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bersama Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan juga telah mengadakan pertemuan dengan Sr Theresa Chua Siu Yan, Lady Superior of the Society of Saint Maur yang mewakili Lembaga Pengelola SMK Convent Bukit Nanas dan kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan penyelesaian yang dibincangkan.
"Semoga dengan keputusan ini, SMK Convent Bukit Nanas akan terus melakar kejayaan sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan dalam melahirkan modal insan negara yang berkualiti tinggi," katanya.
Tempoh pegangan pajakan tanah tapak SMK Convent Bukit Nanas dijadual akan tamat pada 6 September depan.