Tiada tindakan lanjut diambil terhadap Cabrera: FAM

Iklan
Aksi Cabrera (kanan) ketika pertemuan menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur pada Jumaat lalu. -Foto: FB Johor Southern Tigers

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan kes tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera yang menyentuh pengadil perlawanan tidak akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap Cabrera selepas pengadil melayangkan kad kuning kepada pemain import skuad Harimau Selatan itu dalam perlawanan tersebut.

Iklan
Iklan

"Dalam kes Cabrera ini, pengadil telah mengambil tindakan dengan memberikan kad kuning kepadanya. Apabila pengadil dah beri kad kuning, maka ia berakhir di situ sahaja.

"Namun, berbeza sekiranya seseorang pemain dilayangkan kad merah dan hukuman boleh ditambah mengikut kekasaran yang dilakukan dan boleh dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib,” katanya selepas Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pengadil FAM bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Iklan

Isu menyentuh pengadil perlawanan menjadi ‘buah mulut’ dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan ekoran insiden Cabrera menyentuh pengadil dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Jumaat lalu, namun hanya dilayangkan kad kuning.

Berbeza dengan insiden membabitkan pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC, Fadzrul Danel Mohd Nizam yang dibuang padang kerana menyentuh pengadil ketika aksi Liga super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 9 April lalu.

Iklan

Sebelum itu, tonggak JDT, Natxo Insa dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda RM10,000 susulan tindakannya menyentuh pengadil, Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak pada 21 Mac lalu.

"Pemain boleh menyentuh pengadil dalam perlawanan tetapi tujuannya sudah tentu bukan untuk mengasari atau membuat bantahan dengan melulu. Sebaliknya, mungkin seseorang pemain itu menyentuh pengadil untuk berkomunikasi dan meminta penjelasan atau sebagainya.

"Tidak semua situasi pemain menyentuh pengadil adalah satu kesalahan atau untuk tujuan provokasi. Terdapat situasi pemain sebenarnya menyentuh pengadil cuma mahukan penjelasan lanjut berkaitan keputusan yang dibuat.

"Kita jangan lihat apabila ada sentuhan walaupun nampak kasar, sebenarnya bagi pengadil tiada apa yang berlaku. Terpulang kepada pengadil untuk melayangkan kad atau tidak. Biar pengadil lakukan tugas dan buat keputusan.

"Jika terdapat insiden, kami akan bertanya kepada pengadil berkenaan adakah ada unsur provokasi namun dia menjawab tiada. Jadi pengadil juga tahu sama ada dia terancam atau tidak ketika didatangi atau disentuh pemain,” jelasnya.