Fikir rugi sampai boleh sakit jantung

Iklan

SEMALAM Sinar Harian melaporkan jumlah kerugian akibat scammer mata wang kripto yang dilaporkan polis mencecah RM191 juta sejak 2019 hingga Februari tahun ini.

Jumlah kerugian itu jika dibandingkan, kita dapat membina hampir tiga buah sekolah dengan belanja RM60 juta setiap satu.

Iklan
Iklan

Menurut statistik yang dikeluarkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, jumlah tersebut adalah hasil daripada beberapa kerja penipuan yang dilakukan kumpulan penipu profesional.

Penipuan sering dilakukan melibatkan aktiviti jual beli dan pelaburan mata wang kripto, pelaburan perlombongan palsu, penggodaman cryptowallet dan ransomware.

Iklan

Walaupun pelbagai laporan mengenai penipuan sedemikian didedahkan, masih ramai yang terperdaya dengan janji manis mengaut keuntungan mudah berlipat ganda itu. Akhirnya mereka bukan sahaja berputih mata tetapi tersungkur terus selepas melabur.

Seorang rakan karib penulis mengakui perkara sama. Pada mulanya dia begitu teruja dengan janji-janji manis pelaburan tersebut.

Iklan

"Tak perlu buat apa, biar mesin mining saja berjalan. Hari-hari tuai hasil keuntungan. Akhir sekali, bukannya panas hingga petang, tak sempat panas lagi hujan lebat sudah turun,” katanya.

Tambahnya:"Belum sempat tuai hasil dah rugi. Habis simpanan aku. Kalau fikir boleh sakit jantung.

"Semua ini penipu, janji manis, aku beli mesin pun tak sempat nak untung, dah kena ‘kencing’.”

Memang marah betul kawan penulis itu bila ditanya perkembangan ‘lombong bitcoin’ atau blockchain yang dulunya dikatakan dibuat di negeri utara tanah air.

Kenapa penipuan ini mudah sangat berlaku? Adakah nak untung mudah atau mencuba pelaburan baharu?

Tidak sah

Boleh dikatakan pihak sindiket akan menonjolkan kemewahan dan kesenangan kononnya hasil lombong bitcoin, dan mungkin itu jugalah sebabnya mangsa mudah gelap mata. Kononnya, semua itu hasil tuaian di lombong-lombong diusahakan, sedangkan semuanya palsu.

Menurut rekod sebelum ini, mata wang kripto terlalu banyak hingga mencecah 8,000 di seluruh dunia, cuma yang menjadi trending atau terkenal adalah bitcoin atau ethereum.

Di negara ini, Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan mata wang kripto tidak sah untuk urus niaga dalam negara.

Kenyataan pertama bank pusat berkenaan bitcoin pada 2 Januari 2014 menegaskan bitcoin tidak diiktiraf sebagai satu mata wang rasmi di Malaysia dan BNM juga tidak mengawal selia operasi bitcoin.

Orang awam dinasihatkan berhati-hati dengan risiko yang muncul daripada penggunaan mata wang digital seumpamanya.

Aspek undang-undang jelas bertentangan dengan pihak berwajib, namun masih ada antara kita yang mudah terpedaya untuk menjana keuntungan mudah tanpa perlu bersusah payah berusaha.

Merujuk pandangan ulama dan pakar kewangan dunia, terdapat beberapa perbezaan pendapat.

Berdasarkan laman web Mufti Wilayah Persekutuan, Mufti Mesir, Syeikh Shauqi ‘Allam berkata, bitcoin diharamkan kerana beberapa faktor, antaranya bitcoin tidak menepati syarat untuk diiktiraf sebagai mata wang dan terdapat unsur jahalah, gharar dan manipulasi yang amat sukar dikawal.

Seperti juga Syeikh Shauqi, sebuah badan yang berpangkalan di United Kingdom, Wifaq al-‘Ulama menyifatkan bitcoin tidak dibenarkan atas faktor harganya yang sangat tidak stabil di pasaran selain kaedah perlombongan bitcoin yang mempunyai unsur perjudian.

Namun begitu, Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah BNM, Datuk Dr. Mohd Daud Bakar dalam satu pembentangan pada program ‘Cryptocurrency, Blockchain & Distributed Ledger Technology: Synergizing Technology & Shariah’ di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 29 November 2017 menyimpulkan bahawa bitcoin adalah patuh syariah, namun masa depan mata wang kripto tersebut masih lagi tidak jelas.

Beliau berpandangan pelaburan dalam bitcoin adalah harus dan keuntungan yang diperoleh dikenakan zakat. Wallahualam.

*Mohd Fazli Zainul Abidin ialah Penerbit Sinar TV