'Hanya ALLAH tahu perasaan saya'

Iklan
190242

PONTIAN - Seorang tukang kayu sedih apabila kereta dan bengkel pertukangan serta dapur rumahnya terbakar di Kampung Parit Ismail Benut di sini, kelmarin.

Syukor Ibrahim, 49, berkata, ketika kejadian dia bersama isterinya Yanti Isa, 43, sedang berbelanja di sebuah pasar raya di Pekan Benut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dia mendapat panggilan telefon dari anak saudaranya, Mohamad Saiful Latasak, memberitahu bengkelnya terbakar kira-kira jam 12.00 tengah hari.

"Cuma ALLAH sahaja tahu perasaan ketika itu kerana segala mesin dan kayu ada dalam stor. Semuanya musnah.

Iklan

"Begitu juga dengan kereta Alfa Romeo yang diletakkan di sebelah bengkel. Habis terbakar,” katanya.

Syukor bagaimanapun reda dengan kejadian itu kerana apa yang penting adalah keluarganya selamat lebih-lebih lagi anak saudaranya Saiful, 28, yang berada seorang diri di rumah ketika kebakaran berlaku.

Iklan

Saiful sempat keluar dari rumah selepas dengar jeritan jiran yang ternampak api di bengkel,” katanya.

Saiful berkata, dia cuba memadam kebakaran dengan menjirus air yang diisi dalam baldi, namun api marak dengan begitu cepat.

Saiful menunjukkan bengkel dan mesin yang musnah dalam kebakaran tersebut.

"Ketika saya hendak mandi, jiran jerit beritahu ada api di luar rumah. Saya bergegas keluar sambil bawa baldi berisi air.

"Rupa-rupanya api sudah marak membakar hampir keseluruhan bengkel pertukangan kayu di sebelah rumah.

"Ramaijiran-jiran yang datang bantu jirus air untuk padam kebakaran,” katanya.

Mesin pertukangan hangus

Sementara itu, Syukor akui bimbang tempahan perabot yang diterima tidak dapat disiapkan berikutan semua peralatan mesin pertukangan dianggarkan lebih RM10,000 musnah terbakar.

Katanya, ketiadaan mesin pertukangan seperti mesin pemotong menyukarkan kerja-kerja membuat perabot dilakukan.

"Sepatutnya hari ini (semalam), saya serahkan tempahan perabot kabinet dapur bernilai RM4,000 kepada pelanggan.

"Tetapi segalanya sudah musnah dalam kebakaran itu,” katanya.

Syukor berharap agar dapat meneruskan kerja-kerja pertukangan yang menjadi periuk nasi kepada dia dan isteri.

"Mustahil untuk saya beli peralatan baharu dalam masa terdekat.

"Diharap ada yang sudi membantu meringankan beban kami,” katanya.

Bimbang kejadian kebakaran berulang

Dalam pada itu, Syukor turut bimbang kejadian kebakaran tersebut berulang berikutan kedudukan rumahnya yang terletak bersebelahan kebun kelapa sawit yang terbakar.

Biarpun api tidak kelihatan dan hanya asap sahaja, namun kawasan kebun sawit di atas tanah gambut berisiko mengundang kejadian kebakaran.

Justeru langkah mengurangkan risiko kebakaran atau mengelak api marak seperti dengan membina pemisah iaitu parit dapat dilakukan.

Sementara itu, Pegawai Operasi, PBK II Abdullah Sani Md Jani berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.57 tengah hari dan seramai lapan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat Pontian turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru melakukan kerja-kerja pemadaman.

"Anggota Pasukan Bomba Sukarela Benut telah sampai terlebih dahulu di lokasi kejadian.

"Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.