JAKARTA - Seorang lelaki bertindak menikam imam selepas tersinggung mendengar kata-kata nasihat kepada jemaah mengenai kepentingan menunaikan solat dan tarawih di masjid ketika Ramadan.
Menerusi laporan Tribunnews, Ketua Siasatan Jenayah Polis Galsel, Aipda Samsuddin berkata, imam masjid, Baso Dg Sallang, 60, mengalami kecederaan selepas ditikam menggunakan parang ketika berada di sebuah kedai dalam kejadian 19 April lalu.
Katanya, suspek, Arsyad Dg Salli, 25, tersinggung dengan kata-kata imam berkenaan sebelum bertindak menyerang dan menikam mangsa.
Sebaik menerima laporan, polis bergegas ke lokasi kejadian tetapi suspek telah melarikan diri.
"Unit Siasatan Jenayah Polis telah mengambil keterangan saksi di tempat kejadian. Motifnya, suspek tersinggung dengan mangsa kerana kata-katanya berhubung solat dan tarawih di masjid.
"Walaupun imam berucap secara umum namun suspek berasa sakit hati seolah kata-kata itu ditujukan kepadanya.
"Bagaimanapun suspek menyerah diri di balai polis pada 20 April jam 4 pagi (waktu tempatan)," katanya.
Mangsa kini dalam keadaan stabil dan menjalani rawatan perubatan di hospital dekat sini.