BAITULMAQDIS - PALESTIN . Tentera dan polis Zionis semalam mengusir sebuah keluarga Palestin dari rumah mereka di Kota Lama yang diduduki, selepas Mahkamah Agung Israel memutuskan bahawa ia dibina di atas tanah milik peneroka haram Yahudi.
Saksi berkata, keluarga Hatem Abu Assab turut dikasari secara fizikal semasa proses pengusiran itu.
Difahamkan, keluarga Abu Assab telah mendiami rumah diperbuat daripada batu itu sejak lebih enam dekad lalu.
Mereka mendiami rumah berkenaan selama tiga generasi sejak 1952.
Namun, mahkamah baru-baru ini memutuskan keluarga berkenaan tiada hak ke atas rumah dan tanah tersebut serta memerintahkan pengusiran mereka.
Mahkamah memutuskan bahawa rumah itu milik kumpulan Israel di bawah 'Undang-undang Harta Absentee' walaupun peguam keluarga Abu Assab telah memperoleh keputusan mahkamah untuk menangguhkan pengusiran sehingga akhir bulan ini.
Selepas diusir keluar, pihak berkuasa Israel mengiringi sebuah keluarga pendatang Yahudi masuk ke rumah keluarga Abu Assab.
Situasi itu mencetuskan ketegangan menyebabkan Abu Assab dan anak lelakinya ditahan polis Zionis.
"Mereka (Israel) rampas rumah saya, memori saya dan impian saya.
"Mereka tangkap suami dan anak saya. Peneroka Yahudi pula berada di rumah saya.
"Kami pula diusir dan dilayan seperti haiwan," kata isteri Abu Assab, Rania. - Agensi