SHAH ALAM- Lotuss Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Lotus's Malaysia) melancarkan dua inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) tahunan iaitu Kiriman Ikhlas Raya (KIR) dan Tabung Kiriman Ikhlas (TKI) yang memberikan manfaat kepada komuniti-komuniti di mana ia beroperasi.
Lotus’s bekerjasama dengan rakan-rakan sekerjanya, All Kurma Sdn Bhd (All Kurma) untuk memastikan mereka yang paling banyak terkesan secara ekonomi akibat Covid-19 tidak ketinggalan dalam sambutan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Komunikasi Korporat dan CSR Lotus’s, Hanim Hamdan berkata, untuk inisiatif KIR, Lotus’s telah bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP), Kelantan dan Johor; Lembaga Zakat Selangor serta Kedah untuk pengagihan Zakat Wakalah yang disumbangkan oleh rakan-rakan sekerja Lotus’s.
"Inisiatif ini berbentuk sumbangan barangan keperluan rumah bernilai RM300 yang diagihkan dari cawangan-cawangan kami kepada 100 keluarga asnaf terpilih untuk membolehkan mereka menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih sempurna.
"Ini bukanlah kali pertama rakan-rakan sekerja kami menyumbangkan Zakat Wakalah kerana kami telah mempraktikkan inisiatif ini sejak 2019. Bagaimanapun tahun ini merupakan kali pertama kami bekerjasama dengan badan-badan agama Islam di lima negeri pada masa yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, melalui inisiatif TKI, dengan setiap pembelian semua produk All Kurma bernilai sekurang-kurangnya RM18, RM1 akan disalurkan ke dalam TKI.
"Rangkaian produk-produk All Kurma merangkumi Siafa, Mahadhi, al-Hisham, Masafii, Date Crown dan Springdeal.
"Kami menyasarkan untuk mengumpulkan dana sebanyak RM30,000 yang kemudiannya akan ditukar menjadi baucar Lotus’s dan diedarkan kepada 100 keluarga asnaf yang telah dipilih. Kempen TKI ini akan berlangsung sehingga 2 Jun 2021,” katanya.
Melalui inisiatif gabungan KIR dan TKI, penerima-penerima asnaf akan dapat menikmati baucar tunai bernilai RM300 dan keperluan isi rumah bernilai RM300.
Pengedaran baucar dan barangan keperluan isi rumah yang pertama telah diadakan di Lotus's Kota Bharu, Kelantan pada 20 April 2021 manakala pengedaran selanjutnya pula dijadualkan sepanjang bulan Ramadan.