JEMPOL - Sekumpulan peniaga bertindak menyerahkan seorang wanita berusia 33 tahun di balai polis selepas didakwa menggunakan wang palsu bagi urusan pembelian di sebuah tapak ekspo di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam disedari oleh salah seorang peniaga selepas membuat imbasan wang dengan menggunakan mesin pengimbas duit.
"Wanita yang menganggur berkenaan sebelum itu membuat urusan pembelian pakaian bernilai RM40 di salah sebuah gerai dan membuat pembayaran menggunakan wang kertas bernilai RM100. Peniaga di kedai itu kemudian memulangkan baki RM60.
"Kira-kira 30 minit kemudian, datang seorang peniaga lain bersama suspek ke gerai peniaga pakaian itu dan meminta membuat pemeriksaan ke atas wang RM100 yang digunakan membeli pakaian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Chang Hook berkata, selepas pemeriksaan wang berkenaan didapati palsu.
"Peniaga ekspo itu menyerahkan suspek di balai polis berhampiran. Siasatan mendapati suspek mendakwa memiliki tiga keping wang kertas RM100 hasil jualan telefon peribadi miliknya.
"Suspek mengakui menggunakan wang kertas berkenaan bagi urusan pembelian barangan di tapak ekspo namun mendakwa tidak mengetahui wang kertas yang diterima hasil jual telefon itu adalah wang palsu.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 489 C Kanun Keseksaan dan suspek direman selama empat hari bermula Jumaat bagi melengkapkan siasatan," katanya.