Waspada helah, penipuan perbankan internet

Iklan
MCMC menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan helah dan penipuan yang memperdaya pengguna supaya menyerahkan maklumat akaun perbankan internet.

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada Jumaat menasihatkan orang ramai agar berwaspada dengan helah dan penipuan yang memperdaya pengguna supaya menyerahkan maklumat peribadi seperti nama dan kata laluan akaun perbankan internet.

MCMC dalam kenyataan di sini memaklumkan pihaknya telah mengesan beberapa helah dan modus operandi yang digunakan ‘scammer’ seperti penghantaran pesanan ringkas secara rambang kepada pengguna yang menyerupai pesanan bank.

Iklan
Iklan

"Pesanan ringkas SMS atau mana-mana aplikasi pesanan termasuk WhatsApp ini menyatakan telah berlakunya transaksi kewangan mencurigakan atau wujud keperluan untuk pengguna mengesahkan, mengemas kini atau mengaktifkan semula akaun perbankan internet,” menurut kenyataan itu.

Pengguna seterusnya diminta untuk melayari pautan laman sesawang palsu yang diberikan dan kemudian memasukkan nama dan kata laluan akaun perbankan internet.

Iklan

Kenyataan itu memaklumkan paparan di laman sesawang palsu itu akan kelihatan serupa dengan laman sesawang perbankan internet sebenar namun alamat URL laman itu mempunyai perbezaan dan variasi dari segi nama, huruf serta ejaan.

Menurut MCMC lagi, modus operandi itu termasuk meminta pengguna menghubungi talian penting (hotline) palsu dan seterusnya pengguna akan berhubung dengan scammer yang menyamar sebagai pegawai bank atau pihak berkuasa.

Iklan

"Melalui interaksi ini, pengguna kemudian diminta melayari laman sesawang palsu dan perlu memasukkan nama pengguna serta kata laluan akaun perbankan internet atau diminta memuat turun dan memasang aplikasi palsu dalam bentuk fail ‘APK’, yang memerlukan mereka memasukkan nama pengguna dan kata laluan akaun perbankan internet,” jelas MCMC.

MCMC memaklumkan helah serta modus operandi itu turut digunakan untuk memperdaya dan memperoleh nombor Transaction Authorization Code (TAC) atau One-Time PIN (OTP) daripada pengguna.

Sehubungan itu MCMC mengingatkan pengguna agar berwaspada apabila menerima pesanan ringkas menyerupai pesanan bank dan tidak memberikan maklumat perbankan di mana-mana laman sesawang dengan alamat URL yang mempunyai perbezaan berbanding laman perbankan internet sebenar.

Pengguna juga diingatkan tidak sewenang-wenangnya menghubungi apa-apa nombor telefon atau hotline yang didakwa milik pihak bank tanpa melakukan semakan dan tidak menyerahkan nama pengguna dan kata laluan perbankan internet termasuk nombor TAC / OTP kepada mana-mana pihak.

"Segera rujuk atau laporkan kepada pihak bank masing-masing jika menerima apa-apa komunikasi yang mencurigakan atau apabila menyedari diri telah diperdaya untuk memberikan maklumat perbankan internet kepada pihak yang tidak sepatutnya,” menurut kenyataan itu.

Pengguna boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung perkara itu kepada ‘PDRM CCID Scam Response Centre’ di talian 03-26101559 dan 03-26101599, atau MCMC melalui pautan https://aduan.skmm.gov.my, e-mel aduanskmm@mcmc.gov.my dan WhatsApp 016 - 220 6262. - Bernama