Pendapatan tidak tetap masih boleh beli rumah

Iklan
CHOO KIONG
IPOH - Mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap boleh mendapatkan kemudahan pembiayaan kewangan bagi pinjaman perumahan menerusi Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP Bhd).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Paul Yong Choo Kiong berkata, inisiatif digerakkan kerajaan itu menyediakan jaminan kewangan hingga RM300,000.

Menurutnya, jaminan kewangan itu diberikan institusi-institusi kewangan terlibat dalam SJKP Bhd iaitu Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat, Alliance Bank, Maybank, Ambank, Affin Bank dan Hong Leong Bank.

"Kerajaan sedar akan kesukaran dialami mereka yang tidak berpendapatan tetap dalam mendapatkan kemudahan kewangan bagi membeli rumah kediaman.

"Bagi mengatasi kesukaran itu, kita menubuhkan SJKP Bhd bertujuan memudahkan pembeli kerana selain tiada pendapatan tetap ada juga sebahagiannya tidak mempunyai dokumen cukup seperti pendapatan tidak dapat disahkan," katanya ketika menjawab soalan lisan dikemukakan Yahaya Mat Nor (Amanah-Pasir Panjang).

Beliau berkata, tiada pemberian subsidi disalurkan dalam skim jaminan itu, namun kerajaan negeri telah membuat beberapa ketetapan kepada syarikat pemaju dalam pembangunan rumah kos rendah.

Katanya, polisi kerajaan di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi kelulusan tanah 20 ekar perlu menyiapkan rumah kos rendah dengan harga RM70,000 pada kadar 10 peratus.

"Kita faham dengan harga RM70,000 memang tak akan dapat bina sebuah rumah kerana itu kita beri subsidi.

"Sekiranya 10 peratus ini tidak dapat didirikan, maka mereka perlu berikan sumbangan kepada tabung LPHP untuk kita gunakan bagi dirikan rumah-rumah bagi golongan miskin tegar," katanya.

Menerusi polisi sama, kerajaan turut menetapkan 20 peratus bagi pembinaan rumah mampu milik pada harga RM250,000 ke bawah dan 20 peratus lagi bagi rumah kos sederhana rendah pada harha RM150,000 ke bawah.