Waspada akta gender iktiraf LGBT

Iklan
Gambar sekadar hiasan. Sumber foto: internet

"KITA tak terima", itulah ungkapan tuntas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dalam program Bicara Minda anjuran Sinar Harian pada 12 Februari lalu mengenai perjuangan hak LGBT.

Pada 8 Februari lalu, Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender, Parlimen Malaysia telah mengadakan mesyuarat pertama bagi membincangkan terma rujukan Jawatankuasa tersebut dan cadangan bagi rangka kerja 2019.

Iklan
Iklan

Mesyuarat kedua dijadualkan pada 4 Mac 2019 bagi pembentangan taklimat"Ke Arah Pewujudan Akta Gangguan Seksual dan Akta Kesaksamaan Gender” daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta"Isu-Isu Utama Dalam Laporan Suhakam”.

Walaupun inisiatif kerajaan untuk mendepani isu wanita seperti larangan berhijab, diskriminasi, keganasan dan gangguan seksual terhadap wanita wajar mendapat pujian, pewujudan Akta Kesaksamaan Gender perlu diperhalusi agar tidak bercanggah dengan tatasusila dan norma tempatan.

Iklan

Di bawah Akta Kesaksamaan di United Kingdom, undang-undang mengiktiraf golongan transgender dan yang memiliki orientasi seks seperti homoseksual dan biseksual. Mereka dikategorikan sebagai karakter terlindung atau 'protected characteristics'. Manakala di Amerika Syarikat Akta Kesaksamaan sedang digubal juga untuk mengiktiraf orientasi seks dan identiti jantina.

Ini bermakna, undang-undang kesaksamaan gender secara umumnya bertujuan memberikan perlindungan dan pengiktirafan kepada golongan LGBT daripada sebarang bentuk diskriminasi secara langsung atau tidak langsung berdasarkan orientasi seks ataupun identiti jantina mereka.

Iklan

Desakan segelintir kumpulan hak asasi wanita dan aktivis liberal agar kerajaan memperbuat Akta Kesaksamaan Gender menimbulkan kegusaran. Joint Action Group for Gender Equality (JAG) tahun lalu telah mengemukakan draf undang-undang mengenai diskriminasi kepada KPWKM yang bertujuan antara lain melindungi golongan LGBT di Malaysia.

Pada 24 Januari lalu, JAG bersama dengan Women’s Aid Organisation (WAO) melancarkan satu laporan mengenai hak asasi wanita dari sudut pematuhan terhadap Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW). Laporan tersebut turut membangkitkan dakwaan diskriminasi dan penindasan terhadap golongan LGBT, khususnya wanita transgender oleh jabatan agama.

Penggubalan akta berkenaan gender ini berkemungkinan mengakibatkan beberapa peruntukan undang-undang Persekutuan dan Negeri terbatal atau bercanggahan. Antaranya ialah Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang memperuntukan kesalahan menjalin hubungan seks luar tabii seperti liwat dan seks oral.

Tambahan pula, akta tersebut berupaya membatalkan Enakmen Jenayah Syariah di negeri-negeri yang memperuntukan kesalahan lelaki berpakaian seperti atau menyerupai wanita dan kesalahan musahaqah. Ini berasaskan prinsip kedudukan undang-undang Persekutuan melangkaui undang-undang negeri.

Ia juga menggugat keabsahan fatwa dan institusi agama yang mengharamkan dan berusaha membendung amalan homoseksual serta pertukaran jantina dan organ seks.

Saban tahun seruan untuk memansuhkan undang-undang tersebut yang disifatkan mendiskriminasikan pengamal LGBT sering dilaungkan oleh NGO dan pendukung liberal termasuklah beberapa wakil rakyat dan pemimpin politik.

Apa jua alasan yang dilontarkan, tidak dapat dinafikan bahawa undang-undang negara ini mengambil kira sensitiviti, norma, budaya dan agama masyarakat setempat. Agama Islam diangkat sebagai agama bagi Persekutuan dan negeri mempunyai bidang kuasa untuk membuat undang-undang mengenai kesalahan yang bercanggah dengan ajaran agama.

Namun demikian, tindakan kumpulan hak asasi liberal membelakangkan pelbagai status quo semata-mata untuk merealisasikan agenda songsang mereka. Akta pukal yang menyeludup masuk unsur liberalisme dan kebebasan mutlak di sebalik usaha membanteras diskriminasi terhadap wanita bukanlah jalan penyelesaian yang munasabah mahupun tuntas.

Oleh itu, kerajaan harus waspada dan wakil-wakil rakyat yang menganggotai jawatankuasa pilihan perlu memainkan peranan serta membuktikan komitmen mereka mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang tempatan daripada dirobek ideologi asing.

Kerajaan juga harus fahami betapa CEDAW berperanan setakat memperkasakan undang-undang sedia ada dan ia hanya boleh digunapakai selagi mana ia tidak mengakibatkan percanggahan sepertimana yang diputuskan oleh institusi kehakiman.

* Penulis ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pegawai Undang-Undang di sebuah badan berkanun