MUAR - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dalam memerangi pandemik Covid-19 di negara ini dan memastikan ia dapat dijalankan dengan berkesan.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kerajaan setiap hari mengadakan mesyuarat, yang turut dihadirinya sendiri untuk mengetahui perkembangan mutakhir mengenai kes-kes Covid-19 di seluruh negara.
"Saya cakap macam ni bukan apa, kerana tanggapan segelintir masyarakat kita yang berkata bahawa kerajaan tidak berusaha bersungguh-sungguh hendak tangani masalah ini. (Kata mereka) masalah ini masih menular lagi.
"Saya nak katakan bahawa kita (kerajaan Perikatan Nasional) berusaha bersungguh-sungguh..," kata beliau ketika berucap pada Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil serta Penyampaian Sumbangan Sempena Ramadan di Masjid Jamek Haji Muhammad Yassin, Pagoh, di sini pada Jumaat.
Muhyiddin berkata, kerajaan terus berusaha menguruskan isu Covid-19 selagi ia belum selesai.
"Kerana kalau kita tidak uruskan dengan cekap dan berkesan, maka ia bukan sahaja akan membawa kepada musibah dari segi soal kesihatan manusia tetapi juga musibah kepada ekonomi negara kita yang sudahpun terkesan dengan kerugian berbilion-bilion ringgit.
"Sebab itu, apa sahaja situasi dan keadaan, selagi masalah Covid-19 tidak dapat kita atasi, kita (kerajaan) akan teruskan usaha," katanya.
Muhyiddin seterusnya memberi jaminan bahawa vaksin yang diberi kerajaan adalah selamat.
"Jangan bimbang, vaksin yang diberi kerajaan selamat digunakan, diuji Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang membuat ujian saintifik.. (vaksin) yang kita guna dijamin selamat, berkesan, efikasi vaksin (vaccine efficacy) tinggi dan sebagainya.. itu sebab kita laksanakan," katanya.
Beliau berkata rakyat diminta bersabar dan tidak menyalahkan kerajaan berikutan kelewatan penerimaan vaksin memandangkan vaksin yang tiba adalah mengikut jenama, dan tiada syarikat yang sanggup membekalkan keseluruhan 66 juta dos untuk lebih 30 juta penduduk Malaysia.
"Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional tak boleh diperkecilkan... sebab itulah kita akan terus berjuang menentang Covid-19," kata beliau. - Bernama