Yiwei bersedia atasi halangan terakhir

Iklan
Chew Yiwei

PENERJUN negara Chew Yiwei bersedia untuk mengatasi halangan terakhir bagi menempah tiket kelayakan ke Sukan Olimpik pada kejohanan terjun Piala Dunia 2021 yang akan berlangsung di Tokyo pada 1 hingga 6 Mei ini.

Kejohanan itu merupakan acara kelayakan terakhir bagi atlet terjun negara untuk mendapatkan slot di Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada Julai ini.

Iklan
Iklan

Atlet berusia 25 tahun itu yang memburu penampilan sulung di pentas Olimpik dalam acara 3 meter papan anjal, perlu meraih kedudukan empat teratas dalam acara terjun berirama dan 18 terbaik dalam acara individu pada kejohanan Piala Dunia itu yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 23 April.

Penerjun dari Selangor itu dan penerjun negara yang lain telah mendapatkan visa mereka untuk kejohanan di Tokyo itu walaupun jumlah kes Covid-19 di Tokyo semakin meningkat setiap hari dan kerajaan negara itu sedang membuat persediaan untuk melaksanakan semula darurat di Tokyo dan Osaka.

Iklan

"Sudah menjadi impian saya untuk layak ke Sukan Olimpik, walaupun ia semakin sukar terutama dengan cabaran akibat pandemik Covid-19, saya akan cuba dan lakukan yang terbaik.

"Saya bimbang tidak dapat menunjukkan prestasi terbaik, tetapi secara mental saya sentiasa bersedia. Saya rasa saya sudah membuat persiapan selama lapan bulan lepas...kini hanya bergantung kepada prestasi saya untuk beraksi pada kejohanan Piala Dunia itu,” katanya.

Iklan

Kali terakhir beraksi pada Sukan SEA 2019 di Filipina, selain pertandingan dalaman dan secara maya, pemenang pingat gangsa Sukan Asia dua kali itu menjangkakan pertandingan yang diadakan dalam norma baharu semasa pandemik akan terdapat cabaran tersendiri yang perlu diatasi.

"Cabaran baharu pada masa ini ialah SOP (prosedur operasi standard), bagaimana kita hendak mengatasinya dan tenang (dengan tekanan) memandangkan kita tidak boleh keluar. Aspek lain pula bagaimana kita akan mendapatkan sokongan perubatan dan mandian ais.

"Jadi, ia cabaran baharu yang tidak pernah dialami setiap penerjun, saya fikir semua akan rasa sedikit tertekan di sana (Jepun). Walaupun ada penerjun senior seperti saya yang banyak pengalaman, tetapi kita akan menghadapi pengalaman baharu dalam pertandingan (besar) seperti ini," kata Yiwei yang akan bergandingan dengan Mohd Syafiq Puted dalam acara terjun berirama.