Hanya 20 peratus pegawai, anggota bomba dibenar cuti Aidilfitri

Iklan
Mohammad Hamdan - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Hanya 20 peratus daripada lebih 15,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dibenar mengambil cuti sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, ia bagi memastikan perkhidmatan pasukan tidak terjejas dalam keadaan yang memerlukan.

Iklan
Iklan

"Biarpun pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan, JBPM akan terus dengan aktiviti kesiapsiagaan membabitkan 322 balai di seluruh negara. Anggota dan pegawai JBPM akan meneruskan rondaan dalam kawasan jagaan masing-masing selain meneruskan tugasan am lain.

"Hal ini kerana biarpun larangan (rentas negeri) masih ada, orang awam mungkin akan melaksanakan aktiviti dalam negeri sendiri termasuk berekreasi mahupun mencari nafkah yang jelasnya melibatkan aktiviti pergerakan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JBPM 2020 kepada 79 anggota dan pegawai di Kompleks Kuarters JBPM Cheras, di sini pada Jumaat.

Iklan

Mohammad Hamdan berkata, anggota dan pegawai JBPM yang bekerja pada Aidilfitri akan dibenarkan bercuti secara bergilir, selepas itu.

"Kalau ada anggota dan pegawai yang nak memohon bagi tugas luar negeri mereka masih perlu mematuhi arahan prosedur operasi standard dengan mendapatkan kebenaran pihak polis.

Iklan

"Hal ini supaya tiada dalam kalangan mereka dikesan melanggar peraturan ataupun bersiap sedia dikenakan tindakan tatatertib,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada aktiviti rondaan akan dilakukan di kebanyakan lokasi panas di lebuh raya negara sempena perayaan, beliau berkata, pihak JBPM masih menunggu arahan seterusnya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya akan terus melaksanakan kempen keselamatan kebakaran menjelang perayaan ini selain membuat pemeriksaan di premis-premis yang berisiko tinggi bagi memastikan ia dalam keadaan selamat. - Bernama