Kes belasah dalam lif: Langkah pencegahan tambahan diambil

Iklan
188697

SHAH ALAM - Rapid KL selaku pengendali perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh- Kajang mengutuk perbuatan kejam seorang lelaki yang memukul dan meragut seorang wanita berusia 48 tahun dalam lif di Stesen MRT Taman Mutiara baru-baru ini.

Rapid KL dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, susulan itu pihaknya mengambil beberapa langkah pencegahan tambahan termasuk bekerjasama dengan polis bagi menangkap pelaku kes itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada hari kejadian juga sudah diserahkan kepada polis.

"Kita berharap dapat membantu polis memberkas penjenayah tersebut secepat mungkin.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita trauma dibelasah disamun

RM10,000 ganjaran tangkap suspek belasah dalam lif MRT

Iklan

"Kita juga memaparkan visual CCTV dari dalam lif terus kepada kakitangan bertugas," katanya.

Menurut Rapid KL, paparan itu diletakkan pada skrin utama agar sebarang kejadian dapat dilihat dan diketahui dengan lebih cepat.

Selain itu katanya, anggota pasukan tindakan khas (SAT), yang berpakaian preman ketika melakukan rondaan ditambah di beberapa lokasi panas di kawasan seliaan Rapid KL.

Dalam pada itu, Rapid KL turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berjaga-jaga terhadap keselamatan diri, terutamanya di tempat awam.

Katanya, orang ramai disaran untuk menggelakkan laluan atau tempat yang sunyi.

"Pengguna pengangkutan awam kendalian Rapid KL boleh mendapatkan perkhidmatan pengiring untuk ke tempat parkir sekiranya kawasan tersebut sunyi atau sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.

"Pengguna juga boleh memohon perkhidmatan pengiringan ini dengan berhubung dengan kakitangan operasi di pejabat khidmat pelanggan di mana-mana stesen MRT, LRT, monorel atau BRT kendalian Rapid KL.

Terdahulu, tular video yang memaparkan kejadian pukul dan ragut terbabit di media sosial sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak.

Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka, kepala dan badan dilaporkan menerima rawatan di Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) sejurus selepas kejadian.