AIRTAG oleh Apple iaitu peranti kecil untuk memudahkan pengguna iPhone mencari barang yang tersalah letak ataupun hilang dijangka popular dalam kalangan pengguna jenama itu.
Dengan harga mampu milik bermula AS$29 (RM119) hingga AS$99 (RM407), produk itu dijangka berada di pasaran Amerika Syarikat (AS) bermula 30 April nanti.
Produk yang digerakkan oleh cip U1 itu kalis debu, air serta speaker terbina membolehkan proses pencarian barang lebih mudah dan tepat menerusi fungsi Precision Finding.
Sama ada diletakkan bersama kunci, alat kawalan jauh televisyen, beg, basikal atau barang berharga lain, pengguna tidak lagi pening kepala untuk mencari barang yang hilang atau tersalah letak selepas ini.
Sebenarnya, di pasaran terdapat produk lain yang seumpamanya dilancarkan lebih awal berbanding Airtag.
Cari sahaja di Shoppe, Lazada, eBay dan Amazon. Banyak lagi produk yang mempunyai fungsi untuk memudahkan orang ramai mencari barang milik sendiri dengan mudah.
Misalnya Tile Pro, Chipolo, Tile Slim, Tile Mate dan banyak lagi produk dengan ulasan mengenai harga, kelebihan dan kekurangan serta produk yang paling laris jualannya.
Antara faktor yang menyebabkan sesuatu produk itu menjadi pilihan adalah dari segi jauh jarak produk itu boleh dikesan, ketahanan bateri dan harga.
Bagi pemilik kucing, produk ini amat berguna bagi mereka untuk mengesan di mana kucing kesayangan selepas ini.
Tidak perlu lagi memuat naik di media sosial mengenai kehilangan kucing masing-masing. Cukup sekadar memasang pengesan tersebut dan dapatlah dijejaki lokasi haiwan berkenaan.
Begitu juga pemasangan produk berkenaan di motosikal yang sering menjadi sasaran pencuri seperti Y15 dan EX5. Ia adalah alternatif kepada pengesan GPS bagi menentukan lokasi kenderaan berkenaan.
Dengan pemasangan alat itu juga, pemilik motosikal ‘panas’ tidak lagi perlu bimbang setiap kali meletakkan kenderaan masing-masing di tempat awam.
Tugas polis juga menjadi lebih mudah dalam menyelesaikan kes-kes kecurian melibatkan motosikal.
Ada juga yang mencadangkan supaya alat berkenaan dipasang di badan suami yang pernah terkantoi menipu isteri.
Sama ada benar-benar bertemu kawan lelaki atau sebaliknya, isteri tidak perlu risau lagi hala tuju suami masing-masing setelah dipasang dengan alat tersebut.
Manfaat
Semuanya akan tercatat di GPS gerak-gerak suami dan tiada lagi peluang untuk berbohong kerana semuanya akan tercatat dalam telefon.
Berbanding penggunaan Mylocation di telefon pintar yang boleh dimatikan, penggunaan peranti berkenaan dipercayai boleh mengelak golongan suami melencong ke tempat lain.
Walau apa pun kegunaannya, selagi memberi manfaat kepada orang ramai, ia adalah produk yang baik dan perlu ada secara meluas di pasaran.
Sebab itu, rakyat tempatan perlu banyak berinovasi dan mencipta alat-alat yang dapat memudahkan kehidupan manusia seharian.
Seperti yang dapat dilihat ketika ini, Malaysia amat kurang dalam penciptaan produk inovasi dan banyak bergantung kepada rekaan produk dari negara lain.
Jika ada pun yang dihasilkan oleh universiti tempatan, ia tidak meluas disebabkan kurangnya kerjasama setiap peringkat untuk memantapkan produk ciptaan tersebut.
Kita dapat lihat laporan akhbar sebelum ini mengenai ciptaan universiti tempatan memenangi anugerah di peringkat antarabangsa dalam penghasilan pelbagai produk reka cipta terkini.Adalah amat merugikan apabila hasil ciptaan tidak dikomersialkan dan akhirnya ia terkubur begitu sahaja.
Satu kehilangan besar apabila segala idea, penat lelah dan usaha yang dilaburkan oleh anak muda tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Oleh itu, dalam era teknologi yang semakin pesat, bidang teknologi dan reka cipta perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan supaya rakyat Malaysia tidak lagi menjadi masyarakat pengguna produk orang lain.
* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian