SRI PAHANG FC melaungkan keyakinan bersedia untuk menjinakkan pasukan yang sedang meningkat naik, Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Sabtu.
Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh berkata, kehadiran semula tonggak pertahanan import, Herold Goulon yang sebelum ini mengalami kecederaan akan menambah momentum Tok Gajah ketika berdepan Penang FC.
Iklan
Iklan
"Kami akan berusaha untuk mendapatkan tiga mata. Goulon mengalami kecederaan paha dan tidak dapat beraksi menentang JDT. Jadi kehadirannya semula memberikan lebih kekuatan di bahagian pertahanan.
"Saya yakin kami mampu mencipta sesuatu di sana dan Pahang akan lebih mantap ketika berdepan Penang nanti,” katanya yang mengambil alih tugas menerajui Sri Pahang FC daripada Thomas Dolley pada pertengahan bulan lalu.
Dalam pada itu, Dollah mengakui bangga dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya setakat ini dan percaya mereka masih boleh melakukan kebangkitan dalam baki aksi saingan liga musim ini.
"Saya akui Pahang masih belum menemui rentak, namun saya masih bangga dengan semangat juang yang ditunjukkan pemain. Saya percaya perlawanan menentang Penang nanti, kami mampu buat sesuatu untuk meraih kemenangan.
"Namun, Penang juga bukan pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Keputusan sebelum ini banyak menyebelahi Penang dan saya akui mereka merupakan pasukan yang meningkat naik berbanding tahun-tahun lepas,” ujarnya.