SHAH ALAM- Pusat pemborong terkemuka, GM Klang tampil berbeza untuk meraikan Ramadan dan Syawal tahun ini dengan menganjurkan Kempen Rioooh Raya GM Klang dalam normal baharu.
Pengurus Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang, Norsuhaida Othman berkata, pada tahun ini ia tampil berbeza dengan versi normal baharu di mana kebanyakan aktiviti tertumpu di platform media sosial GM Klang, seiring dengan trend masa kini.
"Sebelum ini kempen Rioooh Raya GM Klang dijalankan dengan pelbagai aktiviti pentas dan hiburan bersama pengunjung.
"Walaupun kempen kali ini yang bermula April sehingga Mei depan dijalankan menerusi media sosial, namun ia masih mengekalkan suasana sambutan perayaan dan menyemarakkan semangat membuat persiapan raya di GM Klang dengan menawarkan pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Norsuhaida berkata, pada tahun ini, seramai 21 pengunjung bertuah berpeluang mendapat duit raya dari GM Klang sebanyak RM300 dengan menyertai peraduan ‘Teka Ketupat & Menang Duit Raya’ yang telah bermula sejak 13 April lalu.
"Untuk menyertainya, mereka perlu meneka jumlah ketupat yang dipamerkan di GM Klang dengan tepat untuk menang.
"Kami ingin mewujudkan mood menyambut perayaan dan membantu meningkatkan produktiviti peniaga di GM Klang yang terjejas dengan situasi pandemik yang tidak menentu sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Norsuhaida berkata, Kempen Rioooh Raya GM Klang juga akan menampilkan sesi Lepak Live Raya Edition di media sosial rasmi Facebook GM Klang yang diadakan pada setiap Rabu dan Jumaat bermula jam 3 petang.
Program ini menawarkan pelbagai hadiah raya yang menarik untuk dimenangi penonton bertuah bagi setiap sesi.