Malaysia berada di landasan tepat dalam pengurusan ekonomi: PM

Iklan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR - Terbitan Sukuk Kelestarian Malaysia yang mencatatkan langganan 6.4 kali baru-baru ini membuktikan bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ini jelas mencerminkan keyakinan pelabur dan keyakinan pasaran terhadap pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun kerajaan berdepan dengan cabaran getir akibat pandemik Covid-19 dalam tempoh setahun lepas.

Iklan
Iklan

Pada Khamis lalu, kerajaan Malaysia berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat menerusi terbitan bertempoh matang 10-tahun berjumlah AS$800 juta dan sukuk bertempoh matang 30-tahun AS$500 juta dengan pengagihan menyeluruh dari Asia hingga ke Amerika Syarikat (AS).

"Kejayaan kerajaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS dengan jumlah nilai AS$1.3 bilion itu adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, saiz terbitan asal dinaikkan daripada AS$1.0 bilion kepada AS$1.3 bilion. Berdasarkan permintaan yang menggalakkan, kerajaan juga berjaya menetapkan harga yang kompetitif bagi Sukuk Kelestarian tersebut.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan agensi- agensinya yang terlibat, seperti Bank Negara Malaysia, yang telah bekerjasama dalam menjayakan pemasaran dan terbitan Sukuk Kelestarian yang unik dan unggul dari sudut inovasi instrumen kewangan Islam,” kata Muhyiddin.

Iklan

Perdana Menteri berkata, beliau yakin ini juga akan terus menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global.

"Insya-ALLAH, Sukuk Kelestarian ini akan terus meletakkan kita di landasan pembangunan yang lebih lestari, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya. - Bernama