KPDNHEP Pahang periksa 18,781 premis sejak 1 Januari

Iklan
Nazri (kanan) melihat harga telur yang dijual ketika lawatan sempena pelancaran SHMMP 2021 peringkat negeri pada Jumaat.

JERANTUT - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang telah menjalankan pemeriksaan ke atas 18,781 premis perniagaan di negeri ini bermula 1 Januari lalu.

Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan Dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah berkata, sebanyak 345 kes direkodkan sepanjang tempoh itu dengan nilai rampasan RM274,114.40 dan kompaun RM89,000.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPDNHEP Pahang juga telah menerima 230 aduan pengguna dengan 211 telah selesai disiasat.

"KPDNHEP Pahang akan memastikan tiada sikap pilih bulu bagi membanteras aktiviti manipulasi harga di kalangan peniaga.

Iklan

"Penguatkuasaan undang-undang amat penting agar pengguna tidak teraniaya terutama ketika membuat persiapan menyambut hari raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 peringkat negeri di Pasaraya Econsave di sini pada Jumaat.

Nazri (dua dari kiri) menyempurnakan simbolik pelancaran SHMMP 2021 sambil diperhatikan Normaswari (kiri) dan Kamaruddin (kanan) di Pasaraya Econsave Jerantut pada Jumaat.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Pengarah KPDNHEP Pahang, Normaswari Nordin, Pegawai Daerah, Khairun Nissa Aris dan Pengurus Cawangan Econsave Jerantut, Kamaruddin Ngah Ibrahim.

Dalam pada itu, Nazri berkata, pegawai penguat kuasa dan pegawai pemantau harga akan berada di lokasi-lokasi tumpuan orang ramai untuk memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, orang ramai juga boleh membuat aduan menerusi pelbagai platform yang disediakan oleh KPDNHEP Pahang antaranya menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317, e-aduan@kpdnhep.gov.my atau hubungi talian 1-800-886-800 atau pergi ke lima buah pejabat PDNHEP yang terletak di Kuantan, Temerloh, Raub, Rompin dan Jerantut.

SHMMP 2021 bermula pada 21 April hingga 20 Mei depan dengan penetapan 11 barangan keperluan pengguna iaitu ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, C, daging lembu tempatan, daging kerbau import India, ikan kempung, ikan aya@tongkol dan ikan selayang.