KUALA KANGSAR - Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandunya dipercayai hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang sebuah treler membawa muatan balak di KM256 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini pada Sabtu.
Kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu menyebabkan mangsa, Mohd Lotfi Abd Latib, 37, meninggal dunia di tempat kejadian.
Iklan
Iklan
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Azizan Hassan berkata, siasatan mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 56 tahun berada di lorong kiri menuju ke arah utara.
"Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba datang lori muatan barang kurier yang dipandu mangsa melanggar bahagian belakang kenderaannya dan mengenai muatan balak.
"Akibat kemalangan itu, mangsa tersepit di tempat duduk hadapan. Mangsa yang dikeluarkan oleh anggota bomba disahkan meninggal dunia," katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan saringan Covid-19.
"Pemandu treler berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.