KURANG 24 jam menjelang aksi final Piala Liga pada Ahad, bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane masih belum pasti dapat diturunkan bagi berdepan Manchester City berikutan masalah kecederaan buku lalinya.
Menurut caretaker pasukan, Ryan Mason, Kane semakin kesuntukan masa untuk pulih daripada kecederaan berkenaan apabila tidak menyertai sesi latihan pasukan, semalam.
Katanya, jika keadaan sedemikian berterusan, Kane berkemungkinan besar bakal terlepas peluang untuk beraksi pada final berkenaan.
"Masa untuk Kane semakin suntuk. Dia tidak berlatih bersama pasukan dan perkara ini menggambarkan dia mengalami kecederaan yang agak serius.
"Bagaimanapun, kita akan tunggu perkembangan terkini mengenai Kane kerana hanya dia sahaja yang tahu keadaan dirinya berbanding orang lain.
"Apa pun perkembangan mutakhir mengenai (kecederaan), Kane akan dibuat menerusi keputusan bersama sebelum dia disahkan benar-benar cergas untuk beraksi,” katanya.
Kane dilaporkan mengalami kecederaan berkenaan setelah menjaringkan dua gol ketika terikat 2-2 dengan Everton 17 April lalu hingga menyaksikannya tidak diturunkan ketika skuad The Lilywhites itu menang 2-1 ke atas Southampton pada 22 April.
Sementara itu Mason menyifatkan Kane sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia ketika ini dan yakin Kane mampu pulih untuk beraksi di pentas final berkenaan.
Namun Mason berkata, pihaknya masih belum dapat memberikan jawapan samada Kane dapat diturunkan atau tidak pada aksi final Piala Liga kali ini.
"Buat masa ini, kia memang tidak ada jawapan terhadap persoalan mengenai adakah Kane akan beraksi atau tidak pada final kali ini.
"Namun, segalanya akan terjawab awal pagi nanti setelah pemeriksaan dilakukannya kepada Kane,” ujarnya.