Santuni asnaf menerusi Program Ziarah Ramadan PPZ-MAIWP

Iklan
Rombongan McDonald's, Astro, PPZ-MAIWP dan Baitulmal MAIWP menziarahi penerima zakat di Bandar Tun Razak pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - McDonald's Malaysia dan Astro berpeluang merasai sendiri pengalaman tugas mengagihkan zakat kepada penerima menerusi Program Ziarah Ramadan Siri 2 anjuran Pusat Pungutan Zakat - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Program yang turut mendapat kerjasama Baitulmal MAIWP itu menyantuni 10 asnaf di Bandar Tun Razak pada Jumaat bagi menyampaikan sumbangan khas sempena Ramadan iaitu duit raya, barangan keperluan harian, juadah berbuka puasa selain bantuan zakat bulanan Baitulmal.

Iklan
Iklan

Sumbangan tersebut daripada dana wakalah dan tanggungjawab sosial korporat McDonald's Malaysia dan Astro dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM12,000.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald's Malaysia, Azhar Darbi berkata, kolaboratif julung kali syarikat itu bersama Astro dan PPZ-MAIWP merupakan sebahagian pendekatan CSR yang dilakukan secara berterusan dan disesuaikan mengikut penerima.

Iklan

"Menariknya program ini, kami dapat merasai pengalaman agihan itu. Sebagai pembayar zakat, sebahagian daripada zakat itu diagihkan semula kepada kami melalui dana wakalah untuk kami salurkan secara terus kepada asnaf melalui program McDelivery Berbakti.

"Program kami dengan PPZ tidak terhad setakat ini sahaja kerana turut membantu anak asnaf mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia. Seramai 100 anak asnaf dibantu dan 50 daripadanya sudah tamat belajar.

Iklan

"Program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang," katanya yang ditemui pada Program Ziarah Ramadan Siri 2 di Bandar Tun Razak pada Jumaat.

Azhar (kiri), Abdul Hakim (dua dari kiri) dan Mohd Nizam menyampaikan sumbangan kepada asnaf, Jauriah Bidin dalam program Ziarah Ramadan yang diadakan pada Jumaat.

Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ- MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman.

Dalam pada itu, Abdul Hakim berkata, Program Ziarah Ramadan antara aktiviti pengimarahan Ramadan yang akan dilaksanakan sebanyak empat siri.

"Program ini merupakan kolobratif bersama pihak Baitulmal MAIWP yang kita bawa pembayar zakat bertemu penerima termasuk asnaf, pelajar dan peniaga yang terjejas akibat Covid-19.

"Kita mahu pembayar zakat merasai dan menjiwai tugas turun padang yang dilakukan oleh Baitulmal MAIWP yang diamanahkan menyerahkan bantuan kepada penerima layak.

Katanya, program itu juga antara usaha PPZ-MAIWP dan MAIWP untuk menepis persepsi buruk terhadap institusi zakat seterusnya membuktikan bahawa zakat yang ditunaikan orang ramai disalurkan kepada asnaf yang layak.

Sementara itu, Mohd Nizam berkata, MAIWP sebagai ketua keluarga menyokong penuh program PPZ-MAIWP dengan yang dilihat selari dengan usaha ke arah pembentukan komuniti MAIWP.

"Komuniti MAIWP ini tidak membabitkan kakitangan sahaja tetapi termasuk penerima dan pembayar zakat serta pihak yang bersama membuat kebajikan dengan kita.

"Semua yang ada hubungan dengan MAIWP mahu dimasukkan dalam komuniti MAIWP yang akhirnya manfaat itu akan dikembalikan kepada mereka.

" Contohnya menerusi program pada hari ini (Jumaat), apa yang dibayar pembayar zakat dapat dikongsi bersama asnaf. Sementara asnaf pula kita galakkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya.