ALOR SETAR - Pengendali Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak dilihat seolah-olah gagal menerima hakikat tiga mata yang seharusnya menjadi milik mereka diragut Kedah Darul Aman (KDA) FC pada penghujung perlawanan Liga Super 2021 apabila tewas 3-2 di Stadium Darul Aman pada Jumaat.
Tidak bercakap banyak pada sidang akhbar selepas aksi tersebut, beliau menjelaskan sepatutnya pasukannya keluar sebagai pemenang pada perlawanan tersebut.
"Saya rasa kami patut menang. Awalnya, semuanya bagus buat kami dan pemain-pemain melakukan dengan baik. Mereka memiliki pemain dan pasukan yang lebih baik. Semuanya baik sehinggalah di minit akhir," ulasnya mengenai prestasi anak-anak buahnya.
Bojan bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang dua jaringan pasukan tuan rumah pada penghujung permainan yang menjadi punca kekalahan pasukannya.
"Kami sedang mendahului sehingga ke penghujung perlawanan namun kemudian penalti dan offside. Saya perlu komen tentang pengadil, tetapi tidak boleh. Tiada apa-apa yang boleh saya cakapkan. Ini bukan kali pertama, jadi apa yang perlu saya komen?," soalnya.
Apabila ditanya sama ada KDA FC lebih bertuah pada aksi tersebut berbanding pasukannya, beliau tidak bersetuju.
"Tiada istilah tuah jika penalti dan offside," ujarnya ringkas.
The City Boys seterusnya akan menerima kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 30 April di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bagi aksi ke-11 saingan liga.