ALOR SETAR - Harga minyak masak botol bersaiz 5 kilogram (kg) dikesan naik mendadak hingga 10 peratus sejak awal tahun ini berbanding tahun lalu hingga membebankan pengguna terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.
Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, tinjauan mendapati harga minyak masak botol bersaiz 5kg kini boleh mencecah antara RM28 hingga RM34 berbanding RM25 hingga RM27 tahun lalu.
Menurutnya, harga minyak masak 5kg berkenaan didapati naik setiap tahun dan meningkat semula sejak awal Januari lalu sebelum mengalami peningkatan lagi ketika musim perayaan ini.
"Kita melakukan tinjauan di beberapa kedai di Kedah termasuklah Langkawi selepas menerima banyak aduan tentang kenaikan harga barang runcit khususnya minyak masak lima kilogram.
"Melalui pemerhatian, kita mendapati sememangnya harga minyak menunjukkan peningkatan mendadak hingga 10 peratus dan dikhuatiri membebankan pengguna," katanya kepada pemberita selepas tinjauan di sebuah pasar raya mini di Jalan Seberang Perak di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Mohd Yusrizal berkata, kenaikan harga minyak masak tersebut tidak hanya berlaku di Alor Setar, sebaliknya dipercayai turut dialami pengguna di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang dan Johor.
"Bayangkan, minyak masak kualiti paling rendah sekalipun harga dijual dirasakan luar kemampuan dan membebankan pengguna, tambahan pula ramai yang terjejas akibat Covid-19.
"Pengguna tiada pilihan lain dan terpaksa membeli minyak masak berkenaan walaupun dijual pada harga tinggi memandangkan memerlukan bahan itu untuk memasak," katanya.
Mohd Yusrizal, Cake berharap sesetengah peniaga dan pemborong tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati mereka khususnya ketika majoriti rakyat Malaysia beragama Islam akan meraikan Aidilfitri.
Selain itu, katanya, Cake turut berharap minyak masak dapat dimasukkan dalam senarai barangan kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMO) 2021 yang dikuatkuasakan sejak 21 April lalu hingga 20 Mei depan.
Katanya, pihaknya berharap kerajaan mempertimbangkan memasukkan minyak masak yang mendapat permintaan ketika musim perayaan di bawah skim berkenaan seperti tahun-tahun sebelum ini.
"Selain itu, beberapa barangan lagi, termasuklah santan serta sayur-sayuran juga diharapkan dimasukkan dalam skim memandangkan jumlah 12 barangan kawalan diumumkan sebelum ini dirasakan agak sedikit,"katanya.
Dalam perkembangan sama,Mohd Yusrizal tidak menafikan pengguna boleh membeli minyak masak subsidi yang dijual pada harga lebih rendah, bagaimanapun menjelaskan jumlah pembelian barangan berkenaan dihadkan.
"Ada had pembelian minyak masak subsidi ditetapkan untuk pengguna, misalnya dua bungkusan sahaja untuk orang awam dan lima bungkusan minyak untuk peniaga, itu pun untuk individu dikenali dan kemungkinan tidak dijual kepada pembeli tidak dikenali," katanya.