CEO TV Alhijrah terima anugerah Asean Inspiring Award Winner 2021

Iklan
Namanzee Harris

SHAH ALAM - Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah, Namanzee Harris menerima Anugerah Asean Inspiring Award Winner 2021 Innovation-Inspire-Creativity atas pembabitan serta kepimpinan beliau dalam dunia penyiaran Islam.

Pengiktirafan tersebut diberikan berdasarkan keupayaan serta komitmen berterusan beliau dalam membangunkan TV AlHijrah sebagai stesen penyiaran dakwah yang berinovasi serta kreatif.

Iklan
Iklan

Anugerah anjuran Indonesia Award Magazine diadakan secara virtual di Jakarta, Indonesia pada Jumaat

Menurut Namanzee, kemenangan itu membuktikan peranan penyiaran Islam sebagai ejen informasi dan wahana paling berkesan untuk membekalkan maklumat mengenai Islam serta membekalkan kandungan alternatif secara kompetitif di peringkat antarabangsa.

Iklan

"Secara realiti, ia bukan sesuatu yang mudah untuk stesen televisyen Islam kekal relevan dan bersaing terutama di saat dunia berhadapan dengan wabak Covid-19 yang mengubah pola kehidupan sosial serta landskap ekonomi masyarakat dunia.

"Saya bertuah kerana dikelilingi warga kerja TV Alhijrah yang sentiasa bekerja keras secara kolektif dalam industri kreatif ini," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, anugerah berkenaan memberi satu lonjakan semangat untuk terus bersaing di peringkat antarabangsa sebagai peneraju inovasi dakwah dalam industri kreatif.

"TV Alhijrah akan terus berusaha menjadi media dakwah yang mengangkat penerapan Islam 'as a way of life', agama yang rahmah didekati termasuk penonton bukan beragama Islam," katanya.

Beliau turut memaklumkan suku kedua tahun ini bakal menyaksikan lebih banyak program berimpak tinggi bagi mendidik dan menghiburkan selari dengan ajaran agama, batasan budaya dan norma masyarakat majmuk di Malaysia.

"Terkini, kami akan siarkan program Khatam al-Quran Perdana secara langsung selama 12 jam pada Ahad, 9 Mei depan. Rancangan ini akan mengajak penonton untuk bertadarus seisi keluarga bersama barisan qari terkenal negara dalam usaha mengimarahkan malam akhir Ramadan,” katanya.

Menurut Namanzee, Program Khatam al-Quran Perdana itu serta semua rancangan menarik lain di stesen TV Alhijrah menjadikan stesen tersebut sebagai stesen penenang jiwa rakyat Malaysia ketika menghadapi ancaman Covid-19.

Sebelum ini, Namanzee telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Top Young CEO in Media and Broadcasting Industry di Majlis Anugerah 100 Top young CEO 2020 anjuran Ikon Malaysia.