Bazar Ramadan Bukit Nyamuk dibuka semula

Iklan
Bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang yang ditutup 22 April lalu dibenarkan beroperasi semula pada Ahad.

KUALA NERANG - Seramai 35 peniaga menarik nafas lega apabila bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang yang ditutup minggu lalu akan kembali beroperasi mulai Ahad ini.

Yang Dipertua Majlis Padang Terap, Datuk Md Shuhaime Abdul Rahman berkata, bazar tersebut diarahkan tutup pada 22 April lalu setelah empat hari beroperasi kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta peraturan yang ditetapkan oleh Majlis Daerah Padang Terap.

Iklan
Iklan

"Tempat baharu ini terletak 200 meter dari tapak yang lama, lebih luas dan selesa serta mempunyai tempat letak kereta yang mencukupi.

"Malah lokasi ini juga mempunyai prasarana yang lebih baik kerana mempunyai bangunan berbumbung bagi membolehkan para peniaga di bazar tersebut berniaga dengan lebih selesa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu selepas melawat tapak baharu tersebut.

Bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang dibuka kembali di tapak baharu iaitu kira-kira 200 meter dari tapak lama yang diarahkan tutup pada 22 April lalu.

Iklan

Menurutnya, pihaknya juga turut berterima kasih kepada Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahadzir Khalid yang membiayai kos membaikpulih bangunan berbumbung demi keselesaan peniaga dan pengunjung.

"Kos sewaan tapak bazar yang dimiliki oleh individu itu akan dibayar oleh Majlis Daerah Padang Terap (MDPT).

Iklan

"Kami juga menasihatkan peniaga dan pengunjung supaya mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM bagi memastikan bazar Ramadan akan bebas dari penularan Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, Md Shuhaime menegaskan bahawa MDPT tidak akan teragak- agak untuk menutup bazar tersebut buat kali kedua jika peniaga dan pengunjung masih gagal mematuhi SOP.

Sebelum ini, media melaporkan bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang menjadi bazar pertama di Kedah yang diarahkan tutup berkuatkuasa 22 April kerana gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bazar Ramadan Bukit Nyamuk diarah tutup