KUANTAN - Operasi bazar Aidilfitri di seluruh negeri Pahang dibenarkan beroperasi dari jam 12 tengah hari hingga 2 pagi seperti keputusan kerajaan Persekutuan.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Abd Rahim Muda berkata, lanjutan tempoh operasi tetap tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tahap pematuhan akan terus dipantau.
Menurutnya, pengunjung atau peniaga yang melanggar SOP akan dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa berkaitan.
"Bilangan pengunjung yang masuk perlu dihadkan tertakluk kepada keluasan atau bilangan peniaga di tapak bazar.
"Pengunjung akan diberi pas masuk dan jika pengunjung dalam satu kumpulan atau keluarga setiap orang daripada mereka termasuk kanak-kanak perlu diberi pas masuk.
"Pengunjung yang membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun atau warga emas perlu bertanggungjawab sepenuhnya tentang risiko keselamatan dan kesihatan mereka," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.
Abd Rahim berkata, setiap lot peniaga hanya dibenarkan menerima satu pelanggan atau satu keluarga dalam satu masa bagi mengelakkan kesesakan.
Tambahnya, semua pengunjung, peniaga dan petugas perlu membuat pemeriksaan suhu dan imbasan MySejahtera di pintu masuk.
"Peniaga pakaian dan kasut perlu memastikan pelanggan tidak mencuba sebarang jenis pakaian yang dijual.
"Tindakan penutupan bazar Aidilfitri untuk tujuan pembersihan akan dilakukan selama tiga hari sekiranya terdapat pengunjung, peniaga atau petugas positif Covid-19," katanya.