KOTA BHARU - Tindakan seorang warga emas yang kebetulan keluar mencari juadah bersahur berjaya menyelamatkan nyawanya daripada rentung dalam kejadian kebakaran di kediamannya di Taman Fajar, Panji, dekat sini, tengah malam Sabtu.
Kejadian berlaku pada jam 12 tengah malam memusnahkan kediaman pesara Jabatan Kerja Raya (JKR), Mohd Fauzi Abdullah, 67.
Katanya, selesai berbuka puasa di rumah adiknya di Pengkalan Chepa, dia pulang ke rumah dan mendapati sebatang pokok di belakang rumah teres setingkat miliknya itu tumbang menghempap sebahagian bumbung gerai menjual akok di tepi jalan kerana ribut.
"Dahan pokok itu turut terkena wayar elektrik menyebabkan bekalan terputus. Kira-kira jam 11.30 malam, saya keluar semula untuk pergi membeli juadah sahur.
"Apabila pulang pada jam 12.30 malam, saya tergamam setelah melihat rumah terbakar manakala bomba sedang bertungkus lumus memadamkan kebakaran,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini pada Sabtu.
Menurutnya, dia yang tinggal bersendirian di rumah itu masih terkejut, lemah dan menggigil dengan kejadian itu selain kini tinggal sehelai sepinggang kerana hanya sempat membawa dompet untuk keluar sekejap ke kedai berhampiran.
"Saya terkilan kerana banyak barangan bernilai semasa waktu bekerja di simpan di dalam rumah ini dan tidak sempat diambil selain kesemua barangan musnah dengan keseluruhan kerugian mencecah RM400,000.
"Begitupun, saya bersyukur kerana ketika kejadian saya tidak ada di dalam rumah,” katanya.
Sementara itu, jirannya, Mohd Faizol Che Sulaiman, 35, berkata, ketika kejadian itu dia bersama isteri, Nuraini Mohd Azmi, 35, sedang tidur sebelum tiba-tiba terdengar bunyi letupan di luar rumah sewanya itu.
"Apabila buka pintu, saya nampak api marak dari rumah bersebelahan dan mengejutkan anak-anak untuk menyelamatkan diri.
"Peniaga kedai berhampiran segera menghubungi bomba dan bahagian rumah sewa saya turut terbakar pada bahagian bumbung letak kereta dan ruang tamu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.15 tengah malam dan tiba di lokasi 10 minit selepas itu.
"Sembilan anggota bersama dua pegawai dan dua jentera segera memadam kebakaran. Api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat pasa jam 1.19 pagi manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.