KUALA LUMPUR - Kegiatan seorang wanita warga emas mendalangi penipuan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dibongkar dalam serbuan di sebuah kediaman di Kota Damansara, Selangor pada Jumaat.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi sepasukan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas itu dijalankan kira-kira jam 4.30 petang hasil risikan selama sebulan.
Menurutnya, serbuan itu berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 61 tahun dengan rampasan sejumlah 79 pasport Bangladesh dan wang tunai RM37,050 serta dokumen berkaitan yang digunakan oleh suspek dalam kegiatan berkenaan.
"Pemeriksaan mendapati pasport terbabit mempunyai Pas Lawatan Sosial (PLS) telah tamat tempoh dan ada antaranya tidak mempunyai sebarang pas.
"Wanita itu disiasat di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 56(1)(k) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, selain itu, seorang lelaki warga tempatan yang berada di tempat kejadian diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata, sindiket itu dipercayai memanipulasi pelanggan untuk mendaftarkan diri dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja atas nama majikan yang mereka sediakan dengan mengenakan jumlah bayaran tertentu, namun semuanya adalah sebagai helah sindiket untuk mengaut keuntungan.
Beliau berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mencari pelanggan daripada kalangan PATI untuk didaftarkan kononnya sebagai pekerja bagi tiga syarikat atas nama suspek wanita terbabit.
"Setiap PATI dikenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM3,000 setiap orang bagi membolehkan mereka didaftarkan dalam Program Rekalibrasi oleh suspek. Hasil siasatan awal mendapati tiga syarikat tersebut tidak pernah beroperasi sebagaimana didaftarkan sebaliknya hanya digunakan untuk tujuan pendaftaran program itu semata-mata.
"Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tiga bulan lalu dan menyasarkan PATI warga Bangladesh yang berada di sekitar Lembah Klang," katanya.
Justeru, pihaknya menasihatkan kepada majikan dan orang ramai di luar sana supaya tidak menyalahgunakan peluang yang disediakan melalui Program Rekalibrasi ini dengan mendaftarkan PATI hanya untuk mengaut keuntungan peribadi semata-mata.