SUNGAI PETANI - Seramai 9,916 warga emas di seluruh negara menerima suntikan vaksin dos pertama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) fasa kedua setakat ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, suntikan dilakukan secara berperingkat dan kesemua mereka dilaporkan berada dalam keadaan baik.
"Alhamdulillah kita doakan mereka terus sihat serta tiada mudarat yang berlaku," katanya ketika menyampaikan Bantuan Kewangan Pengoperasian Tahunan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Zon Utara 2021 di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, banyak cerita negatif yang menjadikan warga emas bimbang untuk mendapatkan suntikan.
"Bagaimanapun Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik dan saya menyeru warga emas lain mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera atau Pusat Kesihatan Daerah dan sukarelawan yang ada," katanya.
Beliau berkata, pada peringkat kedua, antara seramai 8,000 hingga 10,000 warga emas akan menerima suntikan secara serentak tidak lama lagi.
Sebelum ini Rina dipetik sebagai berkata, seramai 25,000 warga emas dan 11,000 Orang Kurang Upaya menerima vaksin.
Dalam majlis sama, Rina berkata, kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan peruntukan berjumlah RM600,000 kepada 12 PAWE di Kedah dan RM150,000 kepada tiga buah PAWE di Perlis.