SHAH ALAM - Seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.
Dakwa seorang pelajarnya, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.
Katanya, pada mulanya ia berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.
"Perlahan-lahan gurauan itu menjadi semakin pelik dan lucah. Kemudian, guru itu bercakap mengenai terdapat pelbagai undang-undang yang melindungi kanak-kanak bawah umur daripada penderaan dan gangguan seksual.
"Guru itu kemudian berkata, jika pelajar-pelajar nak rogol, janganlah rogol yang bawah 18 tahun, rogol yang 18 tahun ke atas sebab banyak undang-undang untuk bawah umur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Menurutnya, semua pelajar perempuan tidak memberikan reaksi terhadap gurauan itu dan mendiamkan diri namun ia disambut dengan gelak ketawa pelajar lelaki.
"Pelajar lelaki dekat belakang ketawa seperti perkara itu lucu untuk bergurau tentang merogol seseorang, sedangkan gurauan itu tidak kelakar dan menimbulkan trauma serta takut kepada kami (pelajar perempuan).
"Cikgu itu pun ada sebut sekiranya lelaki dirogol, dia orang tidak akan laporkan kerana mereka berasa ‘sedap’, seperti mereka mahu perkara ini berlaku pada diri mereka,” ujarnya.
Bagaimanapun katanya, dia telah memaklumkan gurauan yang dilakukan oleh guru tersebut kepada guru kaunseling di sekolahnya, namun tidak mendapat keputusan atau tindakan yang boleh dilakukan.
"Cikgu kaunseling kata, perkara tersebut biasa bagi guru lelaki bersembang dengan pelajar lelaki, tetapi bagi pelajar perempuan, perkara itu emosi bagi kami (pelajar perempuan).
"Kata guru kaunseling itu juga, silibus yang diajarkan oleh cikgu itu silibus baharu jadi pendekatan yang digunakan berbeza dan cikgu tersebut kurang mahir,” katanya.
Sehubungan itu, pelajar itu berharap dengan penyebaran video tersebut dapat memberi kesedaran bahawa gurauan berbentuk lucah itu bukan perkara biasa dan perlu untuk diambil tindakan yang tegas.