Skuad projek bukan budak belasahan

Iklan
Aksi antara skuad Projek FAM-MSN dan Perak FC II di Stadium Perak, Ipoh pada Jumaat. - Foto FB SPORTFLEX

DUA keputusan seri dan lapan kekalahan dalam 10 perlawanan Liga Premier yang diharungi setakat ini bukanlah sesuatu yang diinginkan skuad Projek FAM-MSN kendalian Yusri Che Lah.

Situasi itu menyebabkan ada ‘suara-suara’ yang terus lantang mempertikaikan keupayaan skuad Projek FAM-MSN dalam menyaingi kelab-kelab lebih berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Iklan
Iklan

Namun, bagi pengendali Perak FC II, Syamsul Saad, beliau secara peribadi melihat anak-anak buah Yusri mampu menyerlah jika mereka terus diberi kepercayaan dan peluang beraksi di pentas kompetitif.

"Saya hairan kenapa ramai pihak yang mengecam penubuhan skuad Projek FAM-MSN sedangkan setiap tahun beratus pemain dilahirkan daripada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan Akademi Mokhtar Dahari (AMD).

Iklan

"Sekurang-kurangnya penubuhan pasukan itu menjadi satu platform ke mana hala tuju pemain. Jika mahu beraksi dalam Liga Super mungkin tahapnya masih jauh, jadi saingan Liga Premier boleh menjadi platform awal untuk mengasah bakat mereka,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Syamsul berkata, prestasi dan pencapaian skuad projek itu dalam 10 perlawanan liga setakat ini tidak boleh dijadikan 'kayu pengukur' bagi menggambarkan kemampuan mereka secara total.

Iklan

"Skuad projek ini bertujuan melahirkan pemain-pemain berbakat dan bukannya untuk menjadi juara liga. Saya tidak nampak pun mereka sebagai pasukan belasahan dalam saingan liga.

"Jadi janganlah ada pihak yang cepat nak hentam hanya disebabkan keputusan mereka di tengah padang. Sepatutnya kita terus beri sokongan kepada pemain-pemain muda ini kerana mereka boleh dianggap barisan pelapis masa depan negara,” ujarnya.

Yusri (kiri) sentiasa memberikan kata-kata semangat buat anak buahnya. - Foto FB SPORTFLEX

Syamsul memberitahu, skuad Projek FAM-MSN wajar diberi lebih ruang dan peluang untuk mempamerkan potensi sebenar biarpun pentas Liga Premier dianggap ‘tinggi’ buat mereka.

"Bagi saya tidak adil untuk menilai prestasi skuad Projek FAM-MSN ini hanya melalui aksi mereka dalam saingan Liga Premier semata-mata. Lagipun mereka baru sahaja membuat penampilan dalam liga musim ini.

"Jika nak nilai, nilaikan prestasi mereka dalam kejohanan antarabangsa peringkat umur seperti bawah 19 tahun atau bawah 21 tahun kerana di situlah petunjuk prestasi utama (KPI) mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, Syamsul menganggap pemilihan Yusri sebagai pengendali skuad projek sebagai langkah yang tepat berdasarkan kepada kriteria yang dimiliki bekas pemain kebangsaan berusia 44 tahun itu.

"Mungkin ramai yang tidak tahu, Yusri sebenarnya adalah ketua jurulatih bagi program asal NFDP di Perlis. Yusri juga berpengalaman mengendalikan pasukan Perlis, Felcra FC, Kuala Lumpur dan Kelantan dalam Liga-M.

"Ketika mengendalikan kesemua pasukan itu, Yusri sering mengetengahkan pemain-pemain muda. Jadi ia memang bersesuaian dengan falsasah Yusri yang gemar menonjolkan pemain-pemain muda dalam setiap pasukan yang dilatihnya,” jelasnya.