KUALA LUMPUR - Seorang lelaki ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan empat unit rumah di Flat PKNS, Jalan Tun Razak, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada pagi Ahad.
Mangsa berusia 53 tahun itu yang masih bujang dan tinggal seorang diri di rumah berkenaan terbakar 100 peratus dan mayatnya ditemui terbaring di atas katil.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, panggilan kecemasan berhubung kejadian itu diterima pada jam 6. 39 pagi.
Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak dengan bantuan BBP Titiwangsa, BBP Keramat dan BBP Hang Tuah digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurut Komander Operasi Kanan Mohd Hafizan Hassan, kebakaran melibatkan empat unit rumah yang setiap satu berkeluasan 600 kaki persegi.
"Kemusnahan rumah pertama adalah 70 peratus manakala tiga rumah yang lain sebanyak 30 peratus.
"Terdapat seorang mangsa lelaki berusia 53 tahun dijumpai terbakar 100 peratus dalam kebakaran itu," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Katanya, api berjaya dikawal pada jam 7.02 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan.