Maritim selamatkan 10 mangsa bot karam

Iklan
Maritim Malaysia berjaya menyelamatkan kru bot 'barter trade' selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Pinang pada Sabtu.

JOHOR BAHRU- Sepuluh kru bot 'barter trade' berdepan detik cemas apabila dua bot yang dinaiki karam di dua lokasi berasingan di perairan Pulau Pisang, kira-kira jam 4.00 pagi pada Sabtu.

Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, Pusat Operasi Maritim Johor Bahru menerima maklumat dari Zon Maritim Batu Pahat mengenai kejadian dua bot 'barter trade' karam pada kedudukan 5.6 dan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

Iklan
Iklan

Katanya, menurut laporan awal kejadian, kedua-dua bot terbabit membawa muatan kelapa bulat dalam perjalanan dari Pelabuhan Sungai Guntung, Indonesia menuju ke Batu Pahat, telah berdepan dengan cuaca buruk serta hujan lebat.

"Bot 'barter trade' pertama membawa enam kru lelaki warga Indonesia telah karam, namun kesemua kru berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan yang berada berhampiran dan kemudiannya dibawa ke Jeti Pontian Kecil.

Iklan

"Empat kru lelaki warga Indonesia dari bot kedua telah diselamatkan oleh bot 'barter trade' lain yang berada di kawasan berhampiran.

"Maritim Malaysia telah menggerakkan Bot Kilat 13 ke lokasi kejadian untuk mengambil empat orang mangsa dari bot 'barter trade' kedua seterusnya dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Iklan

Menurut Nurul Hizam, kesemua 10 kru yang selamat berusia dalam lingkungan 27 hingga 53 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan bagaimanapun kedua-dua bot 'barter trade' berkenaan didapati telah tenggelam sepenuhnya.

"Komuniti Maritim diingatkan supaya sentiasa membawa dan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut dan digalakkan membawa Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.

"Sebarang laporan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999," katanya.