Polis Kedah terima 30 Toyota Hilux bernilai lebih RM4 juta

Iklan
Mazlan (kiri) dan Hasanuddin bergambar bersama sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) selepas majlis penyerahannya di IPK Kedah pada Ahad.

ALOR SETAR - Polis Kontinjen Kedah menerima 30 buah kenderaan jenis Toyota Hilux GS-Cargo Single Cab 2.4 (MT) bernilai lebih RM4 juta pada Ahad untuk kegunaan pelbagai tugas di negeri ini.

Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, penyerahan aset tersebut bertujuan untuk menggantikan kenderaan melebihi usia yang digunakan dalam operasi harian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 28 buah akan digunakan oleh kontinjen Kedah, sebuah untuk kegunaan Pulapol Langkawi manakala sebuah lagi bagi kegunaan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Langkawi.

"Kenderaan ini adalah untuk penugasan sekatan jalan raya, Light Strike Force (LSF), membawa mayat, mengangkut barang, aset untuk mencegah perhimpunan dan lain-lain. Kenderaan ini juga dibekalkan dua unit bracket senjata, perakam digital, beg peralatan dan banyak lagi.

Iklan

"Kenderaan ini juga berupaya membawa 10 orang penumpang pada satu-satu masa dan boleh digunakan di kawasan bandar termasuk di kawasan ladang," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PDRM menerima sebanyak 400 buah kenderaan tersebut bagi kegunaan seluruh negara dan berharap akan memberikan manfaat kepada semua kontinjen dalam melakukan penugasan harian.

Iklan

"Untuk makluman, kita juga akan menerima 240 van pada Jun ini yang mana van ini akan digunakan untuk membawa anggota untuk melakukan penugasan harian dan agihan akan dilakukan secara berperingkat.

"Jumlah kenderaan yang dimiliki oleh PDRM adalah sebanyak 27,3007 buah dan daripada jumlah tersebut sebanyak 18,279 kenderaan telah melebihi had usia serta akan ditukar dari masa ke masa," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, aset baharu tersebut akan meningkatkan lagi keyakinan masyarakat terhadap tugas harian yang dilakukan oleh polis.

Menurutnya, banyak kenderaan yang digunakan oleh Polis Kontinjen Kedah telah melebihi had usianya.

"Kita tak mahu sebagai contohnya, apabila polis pergi ke kawasan jenayah kenderaan yang dibawa tidak boleh dihidupkan jadi dari situ sudah memberi gambaran yang tidak baik kepada masyarakat," katanya.