KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Polis Diraja Malaysia (PRRM) Bukit Aman dan Kelantan menumpaskan dua sindiket pengedaran dadah dengan penahanan enam individu dipercayai ‘pusher’ dan merampas ganja serta syabu bernilai lebih RM4.5 juta.
Serbuan dilakukan di Kota Bharu dan Tanah Merah itu menahan suspek warga tempatan berusia antara 31 sehingga 50 tahun termasuk tiga wanita.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan pertama pada Sabtu dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di sebuah rumah berhampiran sebuah hotel di Kota Bharu antara jam 8 pagi hingga 8.10 malam.
Menurutnya, polis menahan empat suspek antaranya dua wanita dan merampas dadah jenis ganja yang dianggarkan seberat 393 kilogram (kg) bernilai RM982,500.
"Serbuan kedua pada Sabtu oleh pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Tanah Merah di sebuah rumah menahan seorang lelaki dan seorang wanita bersama 100 bungkusan syabu seberat 100kg yang bernilai RM3.6 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini pada Ahad.
Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat yang turut menyampaikan Surat Penghargaan kepada tujuh pegawai dan anggota dari BSJN Tanah Merah kerana terbabit dalam operasi tersebut.
Razarudin berkata, kesemua dadah itu mampu menampung kegunaan sehingga lebih 1.2 juta penagih.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua sindiket tidak berkaitan namun kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai ‘pusher’ sindiket masing-masing dengan menerima upah yang lumayan.
"Kes pada serbuan pertama membabitkan ganja yang akan dibawa ke Johor menggunakan sebuah lori jenis Hino untuk menembusi pasaran ke Indonesia.
"Mereka ini bergerak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan turut mempunyai surat kebenaran rentas negeri yang direka dengan pelbagai alasan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua sindiket aktif bermula 2020 dengan mendapatkan bekalan dari Thailand melalui jeti di pangkalan haram di negeri ini.
"Polis turut mengesan modus operandi terkini kumpulan sindiket penyeludupan dadah yang menyoroknya dalam ruang tersembunyi di belakang kenderaan pacuan empat roda.
"Polis turut menyita kenderaan itu dan pelbagai aset dianggarkan bernilai RM 201,650 termasuk barangan kemas, lori jenis Hino dan kereta Mercedez Benz serta Honda Civic,” katanya.
Ujar beliau, ujian saringan awal empat suspek didapati positif dadah jenis metamphetamine dan ketamine manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.
"Kesemuanya suspek ditahan reman seminggu sehingga 27 dan 1 Mei depan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.