PASIR MAS - Polis menahan tiga lelaki yang sedang leka berjudi secara dalam talian di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Gelang Mas di sini pada Sabtu.
Serbuan menerusi Op Dadu itu disertai sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, pemeriksaan lanjut ke atas kesemua telefon bimbit milik suspek mendapati terdapat aplikasi perjudian secara dalam talian.
Menurutnya, kesemua suspek bersama barangan rampasan dibawa ke IPD Pasir Mas untuk siasatan lanjut.
"Menjadi satu kesalahan ke atas mana-mana individu yang melibatkan diri dengan aktiviti perjudian dalam talian.
"Kes ini akan disiasat bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Nasaruddin berkata, polis akan mempergiatkan lagi operasi dalam membanteras aktiviti jenayah di daerah ini.
"Jadi kita mohon orang ramai supaya tampil membantu pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkait aktiviti jenayah.
"Hal ini bagi memastikan aktiviti jenayah di Pasir Mas dapat dikurangkan sekaligus mewujudkan persekitaran lebih selamat," katanya.