SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu meneliti dan memandang serius isu tular berkenaan tindakan guru yang didakwa memeriksa tuala wanita dan galakkan merogol ketika pengajaran mata pelajaran pendidikan jasmani.
Senator Asmak Husin dalam satu kenyataan di Facebook berkata, ini kerana mata pelajaran pendidikan jasmani boleh dikategorikan sebagai sensitif, namun ramai tidak peka dan menganggap mudah.
Menurutnya, guru sepatutnya menyampaikan mesej yang sebenar daripada subjek itu dan bukannya memberikan contoh sedemikian.
"Subjek ini memang sensitif dan ramai juga tidak peka serta anggap mudah.
"Pengalaman saya sebagai ustazah (dalam kes ini guru jasmani) ketika mengajar subjek seperti ini, asingkan penglibatan pelajar lelaki dan perempuan sebab ada isu dan 'approach' berbeza.
"Dalam kelas kita ajar biasa, tetapi untuk secara terperinci dan untuk pelajar betul-betul faham, ada sesi khas asing," katanya pada Sabtu.
Asmak berkata, penggunaan ayat untuk menyampaikan bab-bab yang sensitif juga perlu diambil perhatian.
"Cikgu juga nak susun atur kata bukan mudah. Apatah lagi kalau yang jenis kurang sensitif dengan gender dan isu semasa. Pelajar pun mudah tersinggung, tak kena gaya jadi salah faham. Lagi menggusarkan kalau pelajar faham tetapi tidak secara menyeluruh.
"Saya dulu bawa ke sekolah isu ini di bawah tajuk fiqh akil baligh. Bermula isu haid dan sekitarnya, cabaran remaja, pergaulan bebas, 'say no to sex', 'prevent' jenayah rogol dan lain-lain.
"Kalau sekarang isu ni semakin berkembang, tarikan seks sejenis, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), pedofilia, zina secara maya, 'sexual grooming'," katanya.
Menurutnya, isu sebegini patut dibincangkan dengan pelajar supaya ada kesedaran daripada awal tetapi dengan kaedah dan pendekatan yang perlu ditelitikan.
Dalam pada itu, Asmak berkata, beliau akan membawa isu itu ke peringkat seterusnya.
"Saya juga akan angkat isu ini ke atas. Sebelum ini pun sudah banyak kali saya bersuara isu ini.
"Sefaham saya, setakat ini kita ada modul yang baik dan Islamik dari empat kementerian iaitu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Kementerian Kesihatan dan KPM tetapi tidak berlaku lagi penyelarasan.
"Ini menunjukkan kerajaan sangat peka dengan isu ini tetapi perlu ditambah baik agar mesej sebenar sampai kepada pelajar atau remaja," katanya.
Pada Jumaat, seorang guru mata pelajaran pendidikan jasmani di sebuah sekolah di Selangor didakwa bergurau keterlaluan kerana seperti menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.
Dakwa seorang pelajarnya, kejadian itu berlaku ketika sedang mengikuti mata pelajaran tersebut dengan seorang guru lelaki.
Katanya, pada mulanya ia berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN Pelajar dakwa guru galak perbuatan rogol